« Home | Aspirasi Pilihan Perdana »

Jangan tarik muka.

Angin sejuk yang membawa hujan siang dan malam menjadi teman di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada pertengahan Disember 2005. Banjir datang bersama. Keadaan sejuk berubah menjadi panas memikirkan cara untuk menyelamatkan diri, rumah dan harta benda daripada dilanda air banjir. Mangsa berpindah, wakil rakyat datang menguruskan masalah. Mengagihkan keperluan ada kepada mangsa yang menanti. Menguruskan masalah yang membelenggu pemilihnya.

6 Disember 2005, angin berpolitik berubah di Pengkalan Pasir. 18,411 pengundi di 14 petiundi Pengkalan Pasir telah memilih Barisan Nasional. Pengundi memilih calon Barisan Nasional sebagai wakil rakyat. Desakan untuk berubah telah bertapak dalam hati pengundi. Sebagai protes kepada kepimpinan negeri.

Angin berpolitik di kampus juga berubah pada 29 September 2005. Dalam pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di seluruh 17 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kumpulan pro-aspirasi pelajar berjaya menguasai kepimpinan MPP. Mahasiswa memilih pro-aspirasi sebagai wakil pelajar. Satu tapak perubahan bertapak di kalangan orang muda dan intelektual.
Penggal wakil pelajar MPP akan tamat pada September 2006. Penggal sebagai wakil rakyat di Pengkalan Pasir akan tamat sebelum Mac 2009. Setahun adalah masa yang singkat bagi wakil pelajar. 2 tahun lebih lagi tinggal. Masa yang singkat bagi wakil rakyat. 2 tahun yang sudah telah pun berlalu, sejak menang pada 21 Mac 2004 dalam pilihanraya umum yang ke-11. Masa sentiasa berubah ke hadapan.

Ikhtibar dari banjir telah menunjukan bagaimana kaedah untuk menguruskan masalah diaplikasikan oleh wakil rakyat. Kaedah membuat keputusan, melawat mangsa banjir dan menjalin kerjasama akrab dengan agensi penyelesaian masalah rakyat diusahakan sepenuhnya. Kerja melaksana lebih sukar dan digemari. Berbanding kerja seorang yang hanya bercakap tetapi tidak melaksana. Banjir menguji wibawa wakil rakyat. Menduga erti ketabahan kepada mangsa. Tetapi rahmat kepada kontraktor yang bijak mengambil peluang. Membangunkan sistem peparitan yang sistematik untuk elakan kejadian serupa berulang. Banjir menjadi pentas aksi wakil rakyat kepada masyarakat.

Dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan penduduk di kawasan itu memerlukan wakil rakyat yang dapat berkhidmat secara berkesan dan boleh memberi perhatian kepada keperluan penduduk. Bukan sekadar wakil rakyat yang berkesan. Lanjutan daripada itu, rakyat amat memerlukan sebuah kerajaan negeri yang kuat dan berkesan untuk mentadbir negeri. Mesej ini sampai kepada pengundi.
Bukannya senang menjadi Yang Berhormat. Banyak lagi permasalahan semasa yang sentiasa berlingkar dalam rutin harian wakil rakyat. Masalah pembangunan kawasan, masalah penduduk termiskin, masalah ekonomi penduduk, masalah kesihatan penduduk, pendidikan dan berbagai lagi. Mudahnya masalah seisi rumah penduduk di sesuatu kawasan perlu diketahui sedalam-dalamnya oleh wakil rakyat. Itulah resam tuntutan pengundi yang memilih seseorang wakil rakyat. Harapan yang cukup besar.

Wakil pelajar walaupun tidak bergaji seperti wakil rakyat, perlu memenuhi tuntutan besar pelajar yang memilihnya. Perlu memikir apakah masalah seisi satu kolej kediaman pelajar, satu fakulti dan keseluruhan kampus. Masa wakil pelajar lebih singkat. Setahun sahaja menjadi Yang Berhormat. Dalam masa yang sama memegang tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Hadir ke kelas, berkongsi bilik kuliah sama dengan pelajar-pelajar lain dan hadir ke peperiksaan. Bezanya seorang wakil pelajar dalam waktu yang sama menjaga kepentingan dan memajukan pembangunan pelajar di kampus.

Seseorang wakil yang mahir menguruskan masalah pemilihnya dengan berkesan akan dikenang dan mungkin terpilih sekali lagi. Masyarakat hari ini menilai sejauh manakah kemampuan seseorang wakil untuk menguruskan masalah yang dihadapi oleh mereka. Infrastruktur yang sudah sedia seperti jalanraya, sistem peparitan, bangunan, sekolah, universiti yang telah pun dibina perlu diuruskan secara baik. Ramai yang lupa siapa yang berjasa membinanya. Masyarakat kontemporari ini lebih mengenang siapa yang menguruskan semua infrastuktur itu dengan baik. Siapa yang paling hampir dengan dirinya akan terus dikenang.

Apabila tamat tempoh seseorang wakil, hukuman akan djatuhkan kepada wakil yang kurang mahir mengurus masalah dalam bentuk undi. Lebih membimbangkan apabila seseorang pemilih itu hanya menilai secara eksklusif seseorang wakil tanpa membandingkanya dengan parti yang diwakili secara kolektifnya. Budaya meminta daripada memberi perlulah dikikis. Kekadang yang dipinta tidak setimpal dengan apa yang telah disumbangkan. Lebih tidak manis kalau yang meminta turut mengumpat dan mencaci orang yang hendak memberi.

Gaji bulanan yang berpatutan, rumah yang baik, peluang pekerjaan yang baik, cuti yang cukup, makan dan minum yang tidak mahal, bil air,telefon,elektrik dan tol yang rendah, jalan yang tidak berlopak, kadar pinjaman yang rendah dan kos hidup yang murah. Inilah soalan lazim pemilih kepada wakil rakyat. Susahnya apabila berhadapan pemilih yang menjadi raja dan wakil rakyat dianggap ibu kepada semua masalah. Hendak tidak hendak harus diuruskan dengan bijak. Jika menyombong, tarik muka dan lari dari berjumpa pemilih, maka dia akan diadili dengan pensil dan kertas undi.

“Untuk orang yang berusaha menjadi baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia, dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh kesedihan dan kehinaan.” Surah Yunus, ayat 26.
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden, Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

About me

  • harimau_hitam@yahoo.com
My profile

Previous posts

Archives