« Home | Jangan tarik muka. » | Aspirasi Pilihan Perdana »

Typhoon Aspirasi Melanda Kampus

Tiupan typhoon Aspirasi Universiti beralun-alun dengan kencangnya ke pepenjuru setiap universiti dalam pilihanraya kampus penghujung September ini. Kekuatan typhoon ini telah meranapkan idealisme pro-pembangkang di Universiti Malaya dalam piliharaya kampus tahun lepas. Bukan Katrina yang membunuh orang. Tetapi typhoon Aspirasi Universiti hanya mahu meranapkan idealisme pro-pembangkang dalam minda anak-anak muda universiti. Clean down idealisme pembangkang dari fikrah mahasiswa kampus.

Pilihan Aspirasi Universiti dibuat bukan hanya untuk kehidupan di kampus (dunia) tetapi untuk manfaat di akhirat pada kemudian harinya juga. Kebahagian dunia dan akhirat. Pro-pembangkang cuba menipu mahasiswa dengan dakwaan pilih mereka ialah pilih dunia dan akhirat. Ini sama sekali tidak benar. Hasanah dunia dan akhirat bukannya pada PAS sahaja tetapi untuk semua orang Islam. Kalau begitu orang Islam lain yang tidak menjadi ahli PMI dan PAS di daratan bumi dan universiti yang lain. Mereka tidak boleh lah mendapat hasanah sebab di sana tiada parti PAS dan PMI. Bahagia dunia dan akhirat ialah untuk semua orang Islam bukan untuk PAS dan PMI sahaja.

Pilihanraya kampus menghidangkan pelajar dengan beberapa pilihan calon. Aspirasi Universiti atau Pro Pembangkang. Memilih beberapa orang calon wakil umum dan beberapa orang calon wakil fakulti untuk dijadikan wakil kepada keseluruhan pelajar di universiti. Jangan memilih Pro Pembangkang yang bertuankan PAS.

Ini kerana, PAS telah memperkudakan mahasiswa/i kampus hanya untuk menjadi jentera-jentera PAS dalam pilihanraya umum sahaja. Tidak hairanlah PAS telah mengenengahkan calon seperti Mohd Fadzli Ramly di kerusi DUN N42 Tioman selaku calonnya dalam pilihanraya umum ke-11. Fadzli Ramly ialah bekas Presiden MPP UIA pada sessi 2001/02. Jelaslah tindakan PAS menyenaraikan Fadzli Ramly yang juga wakil daripada Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) mungkin sebagai tanda membalas jasanya kerana menolong PAS ketika di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dahulu. Pastinya PAS cukup yakin bahawa Fadzli Ramly akan punyai pengikut yang ramai dan besar di kalangan mahasiswa, yang mungkin akan membolehkan PAS menang di DUN Tioman.

Pengikut-pengikutnya tentulah daripada kalangan bekas mahasiswa yang bersama dengan Fadzli Ramly di UIA. Ternyata Fadzli Ramly juga bungkus di DUN Tioman. Fadzli Ramly tewas dengan majoriti selesa iaitu 1,240 undi. Inilah perkaderan namanya, sesudah menjadi pendokong kuat PAS di UIA. Kemudiannya menjadi calon PAS pula dalam pilihanraya umum.
Tidak ketinggalan seorang lagi calon daripada UIA yang bertanding atas tiket PAS ialah Affif Abdullah di DUN Guar Chempedak, Kedah. Beliau kalah teruk dengan majoriti 3,966 undi. PAS mahu menjahanamkan kerjaya mereka berdua sahaja. Tentunya kedua-dua calon ini ialah antara pelatih-pelatih terbaik yang lahir daripada program tamrin bai’ah PAS ketika di kampus. Parti pembangkang ini berselindung di sebalik nama badan pelajar mahasiswa untuk menipu pelajar-pelajar lain. PMI telah menjadi parti komponen kepada PAS di dalam kampus. Kerana itulah PAS memperuntukkan dua kerusi kuota kepada mahasiswa pro pembangkang dalam pilihanraya yang lepas. Pastinya mereka ini sudah mempunyai pertalian yang kuat sejak daripada dalam kampus lagi. Kalau tidak manakan boleh Fadzli Ramly dan Affif Abdullah menjadi sudah ayam sabung PAS ketika usia yang masih muda lagi.

“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang sekalipun seberat zarah. Dan kalau amal kebajikan (sebesar zarah), nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya pahala yang amat besar.” Surah An-Nissa, ayat 40

Dalam soal agama kita memilih Islam sebagai agama dan mentauhidkan ajaran Allah daripada kepelbagaian pilihan agama yang ada di muka bumi ini. Kita menghormati kepelbagaian yang ada dalam agama-agama yang lain. Kita diharuskan menghormati kehidupan beragama bangsa-bangsa lain. Kita disyorkan juga supaya berbaik-baik dengan mereka dan jangan memusuhi mereka. Ini ialah pilihan kita dalam kehidupan beragama. Ini ialah pilihan Tuhan kepada kita. Tetapi amatlah tidak baik mempergunakan nama agama (Islam) untuk tujuan politik dan merendah-rendahkan keimanan orang lain. Ini bukannya tuntutan agama.

Hidup kena buat pilihan. Pilihan majoriti universiti ialah Aspirasi Universiti. Orang yang hidup tanpa pilihan dan membuat pilihan yang salah akhirnya akan menjejaskan kemaslahatan kampus itu sendiri. Sebab itu tidak ada yang dapat bertahan tanpa pilihan dalam hidupnya. Maka, mari kita memilih untuk muhasabah diri kita sendiri sambil memahami erti kata “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”. Ini satu pilihan perdana bagi kita. Pilihan untuk kehidupan kita di dunia dan akhirat. Berijtihadlah mengikut Ahlul-Sunnah Wal Jamaah.

“Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” Surah An-Nissa, ayat 59.

Taatilah pemimpin di antara kamu di Universiti. Jangan mencuba-cuba untuk menjatuhkan pemimpin Universiti kerana ianya adalah perlakuan yang tidak elok. Maka pilihlah Aspirasi Universiti. Mengundi juga satu pilihan. Memilih antara calon-calon pelajar yang ada untuk menjadi Majlis Perwakilan Pelajar universiti nanti. Memilih mereka yang benar-benar boleh berkhidmat kepada pelajar di universiti. Memperakui bahawa calon itu benar-benar berupaya untuk menjadi pemimpin. Mengangkat calon itu menjadi pemimpin dengan memangkahnya, untuk menyatakan pilihan. Itulah pilihanraya di kampus.

Pilihlah Aspirasi Universiti demi kehidupan mahasiswa yang lebih berkebajikan, terbela dan tidak terpedaya sebagaimana mereka yang terbabit menjadi boneka PAS di universiti kemudian menjadi calon PAS dalam pilihanraya umum ke-11. Tengoklah apa yang telah PAS lakukan terhadap Wan Norhayati Wan Alias, bekas aktivis Persatuan Mahasiswa Islam UTM dan Hizbul Islami. Membiarkan sahaja dia gagal belajar tanpa sebarang pembelaan. Inilah PAS. Untuk tidak tersilap seperti mereka. Tetapkanlah hati dan berijtihadlah untuk memilih perubahan sebagai wakil pelajar kita di kampus. Aspirasi Universiti nyatalah satu pilihan yang tepat untuk memacu hasrat dan impian kita di universiti. Ijtihad itu ada dalam diri kita. Ijtihad itu ada dalam hati kita. Keluarkan ia menjadi satu daya tempur perjuangan untuk merealitikan perubahan di seluruh kampus.

“ Sesungguhnya Allah sayangkan orang yang berjuang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur, laksana bangunan yang tersusun rapi” Surah As-Shat, ayat 4.

Insyallah jemaah Aspirasi Universiti yang tersusun rapi mampu mengalahkan jemaah generasi terakhir PAS di setiap universiti. Tumpaskanlah mereka dengan typhoon yang deras agar PAS dan Keadilan yang mencuba-cuba untuk bangun kembali selepas bebasnya Anwar Ibrahim terus tersadai menjadi buih-buih pepsi cola sahaja di tepi Pantai Cahaya Bulan.

Pilihan sudah dilakukan iaitu Aspirasi Universiti. Pilihan-pilihan lain yang dihidangkan di hadapan mahasiswa/i seperti We Unite For Islam (WUFI-UIA), Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), Islam Penyelamat Ummah (UKM), Gagasan UM, Ikatan Ikhwan Utara, Idealis Mahasiswa Peneraju Kampus (IMPAK – UPM ), Hizbul Islami – UTM, dan lain-lain lagi pilihan harus kita tolak. Kerana untuk terus menghidupkan perjuangan mahasiswa, Aspirasi Universiti lah pilihan yang paling tepat sekali.

Bagi pejuang yang menggantung poster zahirkan ijtihad itu dengan perang poster secara besar-besaran. Bagi pejuang yang menjadi peraih undi zahirkan dengan cara memujuk pengundi dengan cara yang berhemah dan berdisiplin agar jumlah undi Aspirasi Universiti mendadak jauh meninggalkan pilihan-pilihan yang lain. Bagi yang menjadi calon, ijtihadkan untuk menang, keluarkan ijtihad itu secara bersungguh-sungguh dalam setiap gerak kerja.

Insyallah, puntung-puntung api Aspirasi Universiti yang sedang terkumpul mulai ditiup kencang oleh typhoon Aspirasi Universiti. Hembuskanlah kuat-kuat, agar puntung ini menyala dalam setiap hati pejuang Aspirasi. Membakar, menghangus dan menghangitkan jentera terakhir PAS di universiti. Ayuh masa dah tiba untuk berjuang, tunggu apa lagi marilah memangkah Aspirasi Universiti.
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden, Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

About me

  • harimau_hitam@yahoo.com
My profile

Archives