« Home | Mencari Uslub, Hentikan Terista » | Typhoon Aspirasi Melanda Kampus » | Jangan tarik muka. » | Aspirasi Pilihan Perdana »

Kritis Tidak Salah

“Undang-undang ini tidak perlu, apabila masyarakat sedar tentang tanggungjawab diri tanpa desakan ataupun paksaan. Tetapi apabila masyarakat atau sebahagiannya tidak mengambil berat tentang tanggungjawab mereka dan tidak mengawal diri mereka, undang-undang mesti digubal untuk memelihara ketenteraman dan kejayaan masyarakat itu. Begitulah dengan undang-undang pindaan ini. Kerajaan telah mengambil sikap liberal dulu dengan berpendapat bahawa penuntut universiti adalah orang dewasa dan tahu tanggungjawab mereka, tetapi daripada apa yang disebutkan tadi adalah sebahagian daripada penuntut universiti tidak bertanggungjawab dan tidak sedar akibat tindakan mereka”. Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan rang undang-undang AUKU 1975 di Dewan Rakyat. Rentetan 1,106 pelajar bumiputera menyertai “Demonstrasi Baling”.

20 Januari 2006, Zainurfarqar Yaacob (pelajar bumiputera Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya) telah bertindak menumbuk Kalam Azad Abu Bakar (pegawai Hal Ehwal Pelajar UM) ketika demonstrasi di Bangunan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur. Tindakan yang amat mengecewakan. Menunjukan bahawa masih ada mahasiswa tidak mengambil berat tentang tanggungjawab mereka, tidak mengawal diri dengan baik dan tidak sedar akibat tindakan mereka. Inilah asas kenapa AUKU 1975 dipinda oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad akibat “Demonstrasi Baling” pada Disember 1974. Amatlah dikesali yang menjadi pengasuh kepada tindakan Zainurfarqar ialah Khairul Annuar Mat Zuki (AJK Dewan Pemuda PAS). Malah terlibat sama membelasah pegawai terbabit. Dahulu Khairul Annuar Mat Zuki pernah terlibat dalam peristiwa tumbuk-menumbuk di Kolej Ke-12, Universiti Malaya.

“Maka ketika dia bersedia hendak menumbuk orang yang menjadi musuh bagi mereka berdua berkatalah orang itu: Wahai Musa, adakah engkau hendak membunuhku sebagaimana engkau membunuh satu jiwa semalam? Sebenarnya engkau hanyalah hendak menjadi seorang yang kejam di bumi dan tidaklah engkau hendak menjadi seorang pendamai. “ Surah Al-Qasas, ayat 19.
25 Januari 2006, Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) & Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menghantar memorandum memansuhkan AUKU kepada Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya."Mesej kita sangat jelas. Patung dicerut tali di lehernya yang kita usung (dalam perarakan) ini membawa makna mahasiswa kini dibunuh idealisme secara biadap oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Hal Ehwal Pelajar (semua) universiti," jelas Muhd Haniff Baderun, Presiden PMIUM dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS). Siapa yang lebih biadap dalam soal ini ? Tentulah Hanif Baderun kerana bersikap ultra skeptical terhadap KPT dan HEP. Selain menjerut patung, SMM pernah mengusung keranda di SUHAKAM dan menyalakan lilin di Kedutaan Indonesia. Kemuncaknya ialah dengan bertindak menumbuk pegawai HEP.

Universiti bukan diplomatic compound. Undang-undang negara masih terpakai dalam kampus. Mahasiswa menempuh waktu sekurang-kurangnya 12 tahun sebelum ke universiti. Enam tahun di sekolah rendah, lima tahun di sekolah menengah dan setahun di matrikulasi atau dua tahun di menengah atas. Bagi yang mula meningkat dewasa dan baru memahami erti berdikari dengan berjauhan daripada keluarga, perasaan untuk bebas semahu-mahunya adalah satu lumrah. Kemahuan untuk melawan mulai terdetik disebabkan pertentangan ideologi, doktrin yang baru dituruti dan buak darah muda. Mahu membangkang sesuatu yang dianggapnya tidak betul. Ini tidak betul itu pun tidak betul. Semuanya tidak betul kecuali diri dan kelompok sendiri. Membangkang dalam kondisi yang rasional dan konstruktif adalah lebih wajar. Bukannya dengan cara radikal, agresif dan subversif. Menumbuk, mencederakan seseorang secara fizikal adalah contoh tindakan subversif. Kritis tidak salah, tetapi salah kalau subversif.

“Kita tidak boleh menanggani sifat keraguan kerana hanya denga keraguan kita boleh menghapuskan keraguan” Rene Descartes. Secara bersistematik sekiranya kita banyak membaca, merenung, menulis dan bertukar pendapat kita akan menemui bukti yang mencukupi untuk mengurangkan keraguan kita. Akhirnya tiada lagi keraguan. Imam Al-Ghazali ketika dalam keraguan meninggalkan Universiti Nazimiyah, Baghdad untuk ke Damsyik, Palestin dan Thus sebelum terhasilnya Ihya’ Ulumuddin. Seperti AUKU, keraguan akan lenyap, bila ditimbus kefahaman yang diheuristik dengan sabar.

Ayuh, MPP Aspirasi fokuskan usaha untuk perjuangan memartabatkan prestasi pembangunan dan akademik pelajar. Beberapa siri tindakan SMM dan PMI jelas menunjukan nawaitu sebenarnya jauh menyimpang dengan falsafah Pendidikan Negara. Aksi menjerut patung menyerlahkan lagi sifat tidak intelektual seorang mahasiswa. Lebih tidak intelektual apabila menumbuk pipi seorang pegawai. Letakan anak bangsa pada lantai kejayaan teratas, bukannya menjerut diri sendiri dan menumbuk orang lain.
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)