« Home | Suara Kiri Tenggelam » | Kritis Tidak Salah » | Mencari Uslub, Hentikan Terista » | Typhoon Aspirasi Melanda Kampus » | Jangan tarik muka. » | Aspirasi Pilihan Perdana »

Kebajikan Fokus Utama

Bismillahiramanirahim

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan rahmat-Nya kita dapat bersama-sama dalam majlis yang penuh berbahagia pada pagi ini. Kini, kita sudah pun melangkah ke alaf baru, dan secara sedar tidak sedar usia Universiti Utara Malaysia ini sudah melangkau usianya lebih 15 tahun. Sebagai antara universiti yang paling muda ketika ini sudah tentunya pelbagai kekangan dan cabaran telah dihadapi untuk berada pada situasi pada hari ini. Kini hampir 14,569 orang pelajar menghuni dalam kampus Sintok ini.

Dengan jumlah yang seramai ini tentunya pelbagai permasalahan dan kehendak yang berbeza akan didapati dalam kelompok masyarakat kampus tersebut. Majlis Perwakilan Pelajar adalah satu-satunya badan pelajar yang mewakili semua warga kampus. Dengan jumlah seramai 21 orang ahli sekarang ini, kami barisan kepimpinan baru mempunyai ilthizam yang tinggi dalam menjadikan kampus ini lebih kondusif dan sejahtera kepada semua pelajar.

Selaras dengan visi universiti ini untuk menjadikan kampus ini sebagai universiti pengurusan yang terulung di dunia, saya bagi pihak Majlis Perwakilan Pelajar dengan ini menjadikan matlamat ini sebagai satu cabaran yang perlu ditangani oleh semua pelajar secara bersama bukan hanya terletak pada bahu pihak pengurusan dan pentabiran universiti sahaja. Kejayaan mengangkat nama Universiti Utara Malaysia di barisan hadapan sebagai antara universiti yang terulung dan terkenal adalah tanggungjawab bersama.

Elemen kecemerlangan dalam pengurusan dan pentadbiran universiti yang efisien dan kesepaduannya dengan kegemilangan mahasiswa dalam bidang akademik dan ko-kurikulum adalah aset penting dalam mencapai visi tersebut. Berteraskan kepada agenda tersebutlah, kami telah sepakat melancarkan motto "Kebajikan Kerjasama Kecemerlangan" sebagai tunjang perkhidmatan kami bagi penggal 1999/2000.

Berdasarkan motto ini kami mengutamakan kebajikan pelajar sebagai fokus utama perkhidmatan kami dengan melihat kepada masalah-masalah rutin pelajar yang selama ini menjadi duri dalam daging dalam usaha pembangunan pelajar dan kecemerlangan pelajar. Sudah berapa lama pemimpin-pemimpin pelajar berjuang tentang isu kebajikan pelajar seperti masalah bas, perumahan dan kemudahan pelajar, serta masalah biasiswa dan kewangan pelajar yang menjadi batu penghalang kepada pelajar dalam mengharungi kehidupan seharian sebagai seorang yang bergelar mahasiswa.

Agenda perubahan terhadap permasalahan pelajar ini kami tekankan dalam menjamin hak dan keharmonian pelajar secara bersama. Justeru itu, untuk merealisasikan segala agenda kebajikan di universiti, kami menerapkan elemen kerjasama dalam setiap tindakan dalam menanggani sesuatu permasalahan. Kerjasama yang kami inginkan juga dari segi mewujudkan satu bangsa, satu warga Universiti Utara Malaysia melalui pemupukan nilai-nilai kerjasama antara masyarakat pelajar yang berbilang kaum di kampus ini.

Kecenderungan pelajar-pelajar bumiputera khasnya masyarakat Melayu yang merupakan golongan majoriti dalam berhadapan dengan masalah akademik mungkin dapat diatasi dengan formula perkongsian bijak antara kaum dalam menjadikan kegagalan sifar dalam akademik sebagai kempen utama dalam kampus ini. Contohnya sistem perbincangan pembelajaran yang mengintegrasikan pelbagai kaum perlu diwujudkan untuk mencapai hasrat tersebut, selain mengikis terus masalah komunikasi antara kaum di kalangan pelajar.

Kami juga melihat unsur kerjasama ini sebagai sesuatu yang subjektif dan meluas merangkumi peranan mahasiswa, pihak pentadbiran universiti, insitusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain, pihak kerajaan, agensi-agensi swasta dan perniagaan, masyarakat luar kampus dan insitusi pengajian antarabangsa. Inilah entiti-entiti yang kami inginkan dalam satu sistem kerjasama yang akrab tentulah hasilnya adalah satu kecemerlangan yang maksima.

Kecemerlangan ini, adalah kejayaan dalam menghasilkan generasi pelajar yang dinamik dan seimbang bukan hanya dengan bekalan ilmu yang optimum tetapi mampu mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan berkomuniti sesama masyarakat. Kecemerlangan daripada pelajar seterusnya akan mencetuskan kegemilangan kepada universiti amnya. Daripada segi penganjuran aktiviti, kami melihat kepada kecemerlangan dalam menganjurkan aktiviti yang pelbagai sama ada di peringkat universiti, negeri, negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Semoga dengan berkat nusrah dan perkenan daripada Allah SWT, kami yakin inilah teras halatuju kami selaku barisan kepimpinan Majils Perwakilan Pelajar bagi sesi 1999/2000. Usaha yang tekun dan istiqomah akan kami lakukan dalam menterjemahkan hasrat murni tersebut.
Selari dengan motto universiti "Ilmu Budi Bakti", kami akan merealisasikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ini dengan ilmu yang sejengkal, kami berbudi sedalam mungkin dan berbakti hingga dasarnya untuk universiti, agama, masyarakat dan negara.

Akhir kata, saya percaya dan berkeyakinan tinggi kita mempunyai potensi yang tinggi untuk mencapai matlamat sebagai sebuah universiti pengurusan yang terulung sesudah menjengah ke alaf baru nanti, sekiranya elemen "Kebajikan Kerjasama Kecemerlangan" dapat diterjemahkan dalam situasi sebenar nanti. Namun, wawasan kesepaduan ini akan menjadi retorik semata-mata tanpa adanya usaha yang tekun, sepakat dan harmoni.

* Ucapan semasa Majlis Watikah Perlantikan MPP di Bilik Senat, Universiti Utara Malaysia pada 14 November 1999.