« Home | Kebajikan Fokus Utama » | Suara Kiri Tenggelam » | Kritis Tidak Salah » | Mencari Uslub, Hentikan Terista » | Typhoon Aspirasi Melanda Kampus » | Jangan tarik muka. » | Aspirasi Pilihan Perdana »

Musnahkan Virus Benci


“...musnahkanlah virus-virus benci, virus yang bisa rosakan jiwa dan busukkan hati....”

Kenapa perlu wujud rasa benci? Sedangkan setiap tulang empat kerat dikurniakan dengan daya upaya yang fizikal berbeza serta minda bervariasi keistimewaan oleh-Nya. Benci mungkin disebabkan berasa iri hati, memberontak, tamak, ingin berkuasa atau sengaja berasa demikian hanya kerana mahu lebih dikenali.

21 Mac 2006, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah menyebarkan virus-virus benci kepada kerajaan dengan mengadakan tunjuk perasaan membantah kezaliman oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya berhubung dakwaan tatatertib terhadap 17 orang pelajar Universiti Malaya yang terlibat dalam demonstrasi di parlimen pada 22 September 2005. Peliknya SMM telah menuduh Universiti Malaya bertindak zalim terhadap pelajar yang belum lagi dijatuhkan hukuman.

Tetapi benih-benih cinta universiti terhadap pelajarnya masih lagi subur. 17 orang pelajar dibebaskan tanpa sebarang tindakan. Apa yang dikesal ialah walaupun sudah dibebaskan tetapi SMM dan 17 orang pelajar terbabit langsung masih lagi dibelenggu virus benci. Masih lagi tidak berterima kasih secara terbuka kepada universiti. Entah bila virus benci ini akan terubat.

Kebencian pertama membabitkan Habil dan Qabil. Virus ini yang memulakan darah pertama antara manusia. Seterusnya makhluk insan ini terus bertumpah darah dalam peperangan kerana benci membenci yang menebal. Peperangan infantari panjang Sophocles 500 tahun sebelum Masihi, kematian 500,000 tentera Perancis ketika berperang untuk Napolean Bonaparte, kematian 8 juta tentera Jerman ketika Hitler berperang dalam Perang Dunia Kedua, peperangan parit, gas dan kereta kebal angkara Lenin. Serta peperangan di Vietnam, Afganistan dan Iraq. Segala kematian ini berpunca daripada virus benci. Oleh kerana sifat busuk hati dan tamak kepada kuasa dan kekayaan, manusia sanggup berperang.

Hitler, Stalin dan Napolean terpengaruh dengan The Prince, karangan Machiavelli yang menekankan senjata adalah paling penting untuk pertahankan negara. Mereka memilih cara menyerang bukan mempertahankan negara. Napolean yang tidur bersama The Prince di bawah bantalnya menggunakan senjata untuk berperang bersama Grande Arme hingga ke Russia.

Golongan Anglo-Saxon yang menguasai Amerika Syarikat dan Britaian sekarang ini menuduh Iran sebagai kuasa jahat dunia. Berbagai muslihat dan alasan diadakan bertujuan untuk menghalalkan serangan yang bakal dimulakan ke atas Iran.

Hairan sekali setelah menuntut perundingan meja bulat dan hak asasi yang sama rata untuk mahasiswa. SMM masih lagi meneruskan agenda untuk menyebarkan virus benci terhadap universiti dan kerajaan di kalangan mahasiswa. Apa lagi yang masih dibenci ? Adalah lebih baik berbahasa daripada mengedar riben-riben benci kepada mahasiswa.

Benih kecintaan kepada ilmu lebih bersemarak dengan suntikan dana 17.6 bilion untuk pengajian tinggi dan membina sebuah universiti di Kelantan. Pembebasan 17 orang demonstran juga membuktikan tanda kasih pentadbir kepada golongan kontra. Tanda demokrasi masih lagi segar dan belum dikerandakan di Bangunan SUHAKAM oleh segerombolan mahasiswi berpakaian hitam yang pembawa bunga pada 7 Oktober 2005.

Siapa pun kita. Di atas menara, di jendela, bersama kincir atau bersatu bersama putaran angin. Gunakan kaedah Ts’ai Lun dan Johann Gutenberg tetapi jangan sesekali gunakan ciptaan Gatling. Teruskan tiupan yang ada. Jangan biarkan tiupan angin perubahan terhenti. Karena, jika terhenti api perjuangan akan terpadam dan virus kebencian akan terus merebak.

AZRINIZAM IBRAHIM

Presiden, Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)