« Home | Musnahkan Virus Benci » | Kebajikan Fokus Utama » | Suara Kiri Tenggelam » | Kritis Tidak Salah » | Mencari Uslub, Hentikan Terista » | Typhoon Aspirasi Melanda Kampus » | Jangan tarik muka. » | Aspirasi Pilihan Perdana »

"Mahasiswa Baru"

Syabas dan tahniah kepada saudara-saudari sekalian kerana berjaya untuk meneruskan pengajian di Universiti Utara Malaysia ini. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan Kasih Sayang dan Rahmat-Nya kita mampu lagi untuk meneruskan kehidupan di alaf yang serba mendesak ini. Selamat datang ke Universiti Utara Malaysia. Selamat belajar dan selamat mengharungi kehidupan baru sebagai seorang yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi universiti.

Universiti adalah pusat menimba dan mengilap pelbagai disiplin ilmu pengetahuan sama ada duniawi atau ukhrawi. Adegan pembacaan ikrar membuka cerita kehidupan mahasiswa dan klimaknya diakhiri dengan penerimaan segulung ijazah. Sumbang saran yang akan kita budikan kepada masyarakat kampus dan kehidupan kekitaan yang sebenar, banyak bergantung kepada sejauh mana kekuatan penghayatan ilmu dan pembudayaan kemahiran yang ada pada seseorang graduan itu.

Kelangsungan daripada itu, realiti kehidupan selepas bergelar mahasiswa nanti adalah cabaran sebenar yang perlu didepani oleh golongan mahasiswa di abad ke-21. Pengaplikasian kedua-dua komponen ini, iaitu ilmu dan kemahiran, bakal mencetuskan generasi “Mahasiswa Baru” yang akan menentukan rebah atau bangunnya negara, hidup atau matinya perjuangan bangsa, seterusnya mendaulatkan kembali maruah agama.

Penentunya ialah kita semua. Siapa lagi yang akan mewarisi dan mengalas peranan ini. Kalau bukan kita, siapa lagi ?. Kalau bukan hari ini, bila lagi ?. Kalau kita yang tidak hendak berubah, siapa lagi yang akan mengubahnya ?. Kita harus sahut cabaran dan rintangan. Kita harus membentuk satu gagasan dan halatuju baru bagi mahasiswa. Kita mesti membentuk generasi yang dinamakan generasi “Mahasiswa Baru” bagi mendepani alaf yang baru.

Gelombang alaf baru kian deras, tuntutan cabaran kian mendesak dan lama-kelamaan semakin menghimpit ruang kehidupan. Kelompok intelek dan akademia seperti kita, adalah generasi yang akan mendepani semua cabaran ini. Peranan kepimpinan seorang “Mahasiswa Baru” cukup besar, bukan hanya sebagai seorang khalifah kepada diri sendiri dalam mencapai cita-cita
peribadi, tetapi harus ada anjakan menyeluruh dalam objektiviti hidup kita untuk menjadi pemimpin yang sejati. Pemimpin yang mampu memimpin anak bangsa, pemimpin yang punyai kredibiliti sejagat dalam penyelesaian isu kehidupan serta pemimpin agung bagi negaranya.

Kesinambungan pemimpin inilah yang akan menjulang terus masyarakat Malaysia ke persada yang lebih gemilang. Pemimpin yang diharapkan muncul daripada kelompok “Mahasiswa Baru”. Alaf baru memerlukan pemimpin baru untuk mendepani cabaran yang baru. Ideologi baru, gaya kepimpinan baru dan kemas.

Seterusnya mewujudkan “Order Baru Mahasiswa” di ambang kepesatan era teknologi dan maklumat ini. Mendepani zaman yang baru bukannya senang. Tetapi bukannya susah pula untuk kita kecundang. Era yang serba kompleks dan kompetitif ini, menuntut pengorbanan dan perjuangan yang jitu. Generasi “Mahasiswa Baru” tidak harus lagi menjadikan sikap sebagai alasan, batu penghalang dan dinding dengan sesuatu kejayaan.

Tabiat negatif yang selalu mengekang cetusan kecemerlangan dalam kehidupan kita seperti sikap malas, lembab, hasad dengki, tamak haloba, sombong dan pelbagai lagi karenah lama mesti kita tanggalkan daripada jiwa masing-masing.

Tidak layak lagi menjadi generasi “Mahasiswa Baru” sekiranya kita masih lagi mewarisi sikap dan tabiat negatif lama. Sikap inilah yang sekian lama menjadikan diri kita lemah dan tidak mampu untuk meningkat ke persada kegemilangan. Ayuh, mari kita usahakan perubahan dalam diri sendiri untuk mengikis sikap yang negatif ini. Kita harus berani untuk berubah. Kita adalah generasi “Mahasiswa Baru”. Kalau kita yakin kita berani, kita akan boleh lakukannya.

Mahasiswa harus berani dalam ertikata yang sebenarnya. Berani untuk menjunjung tanggungjawab bersama dalam memartabatkan negara dan bangsa Malaysia. “Mahasiswa Baru” adalah golongan yang mampu bersaing, gah menghadapi tekanan dalaman dan luaran, tangkas dalam tindakan, inovatif dan kreatif, serta yang paling mustahak ialah harus ada jati diri tulen sebagai seorang yang terpelajar. Ingat, jangan sekali-kali mengadaikan pelajaran dan hasrat keluarga kita, demi untuk mencapai matlamat sesuatu kelompok tertentu yang hanya inginkan kepentingan kuasa dan harta. Padahnya, kita yang terima bukannya golongan tersebut.

Mereka hanya memperkuda dan memperhambakan kita hanyalah sebagai balaci untuk mencapai apa yang mereka mahukan. Selepas itu, membiarkan kita hanyut bersama-sama perjuangan retorik yang tidak sudah, yang sering mereka canang-canangkan. Cita-cita yang kita junjung jatuh berkecai, hasrat keluarga yang selama ini kita jinjing turut sama punah angkara orang lain.

Sikap agresif dan tidak matang kita memudaratkan diri sendiri. Niat kita tidak menghalalkan semua kehendak kita. Sebagai seorang mahasiswa, kita seharusnya lebih matang dan rasional dalam setiap tindakan. Sikap kita harus dianjak, pemikiran kita harus dibuanakan dalam usaha melestarikan kematangan dan rasional dalam setiap tindakan. Golongan terpelajar yang mutlak dan ideal, seharusnya punyai kemampuan untuk belajar dan mengajar. “Mahasiswa Baru” bukan lagi bersifat pasif apabila menerima dan mengetahui sesuatu ilmu dan kemahiran. Sebaliknya, generasi ini juga harus mampu untuk memainkan peranan sebagai seorang guru, dengan mengajar kembali apa yang diketahui kepada orang lain.


Apa yang kita ketahui akan lenyap kiranya kita gagal untuk mengasimilasikan semua ilmu dan kemahiran tersebut dalam kehidupan realiti. Setakat mana kita mampu mengoptimakan pengaplikasian ilmu dalam kehidupan, setakat itulah sahaja kemahiran yang benar-benar dikuasai. Agenda komuniti global menuntut kita untuk mengajar apa yang telah diketahui bukan
hanya mempelajarinya sahaja. Implikasinya, rekasayaan ilmu itu akan terus berkembang kepada setiap segenap lapisan masyarakat. Ilmu yang ada di dada sebagai rujukan, akal dan fikiran sebagai skala pertimbangan, nafsu dan emosi wajar dipinggirkan barulah wujud kewarasan dalam tindakan. Hatta, spora aliran ilmu dan pengetahuan akan terus berselerak ke segenap penjuru kehidupan sekiranya konsep belajar dan mengajar diamalkan.

Tranmisi ilmu dan kemahiran memperlengkapkan lagi ciri-ciri komuniti manusia yang global. Kitalah yang akan menjadi agen-agen perubah sosial, perubah agenda ekonomi negara dan penentu kuasa politik negara. Budi pekerti yang mulia, sahsiah yang berhemah serta kualiti kesopanan dan kesusilaan timur yang terpuji adalah akar pegangan kita untuk menjadi umat Malaysia yang syumul.

Mahasiswa harus cemerlang dalam akademik dan pembangunan pelajar secara total. Universiti adalah pusat membina karisma diri. Berkecimpung secara langsung dan aktif di peringkat universiti, kolej, kelab & persatuan harus menjadi satu kemestian bagi mahasiswa dalam memprojeksikan program yang seterusnya membina pengalaman berguna untuk kehidupan di hari esok.

Ketrampilan diri dan keyakinan diri akan diperkemaskan melalui penglibatan secara langsung ini. Di sinilah bakat dan kemahiran kendiri digilap. Cemuhan seperti burung sejuk, jumud, rigid, lembab dan pemalas yang selalu dihamunkan kepada golongan mahasiswa akan lenyap dan hilang dengan syarat kita sendiri sebagai ahli “Mahasiswa Baru” proaktif dalam kegiatan kampus.

Pengalaman akan mengajar kita perit maung kehidupan. Pengalaman mencapai kejayaan menjadikan kita rasa puas dan bangga dengan apa yang telah dilakukan. Kegagalan akan membuatkan mereka yang menempuhnya sedar dan insaf tentang erti satu kegagalan. Mereka yang positif seharusnya memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri sendiri. Ini bukannya bermakna kita harus gagal terlebih dahulu sebelum mencapai kejayaan.

Kegagalan dan kejayaan adalah kemuncak dalam hayat sesuatu perlakuan atau gagasan. Faktor penyumbang utama adalah usaha yang tekun dan berterusan. Ia perlu ada dalam diri “Mahasiswa Baru” ke arah pembentukan sesuatu kejayaan. Doa dan tawakal akan mengiringi ketekunan dalam usaha.

Secara konklusinya, mahasiswa harus menjustifikasikan peranannya dalam konteks yang seimbang dan stabil sama ada sebagai seorang anak harapan ibu dan bapa, seorang pelajar yang menjadi ayam tambatan masyarakat dan akhirnya seorang anak Malaysia yang bebas merdeka yang menjunjung aspirasi bangsa dan negara. Generasi mahasiswa adalah pemimpin di barisan hadapan golongan belia negara di masa kini dan akan datang. Perkemaskanlah langkah, perkukuhkan jiwa, persiapkan kemahiran untuk kita bersama-sama mendukung aspirasi bangsa dan mendaulatkan hasrat negara.

Majlis Perwakilan Pelajar sentiasa berada di sisi anda dalam menangani segala macam bentuk kekangan yang menjadi tembok penghalang antara anda dengan kejayaan. Majlis Perwakilan Pelajar juga sentiasa mendukung aspirasi sejagat, tangungjawab bersama dalam pencapaian kejayaan yang maksimum. Generasi “Mahasiswa Baru” inilah gagasan baru. Majlis Perwakilan Pelajar, untuk mencetuskan arus reformasi sejagat dalam perjuangan sebenar mahasiswa. Kami akan mensepadukan lagi usaha dalam menyediakan seorang graduan yang unggul melalui penganjuran aktiviti pembangunan pelajar yang total. Inilah halatuju kita. Inilah matlamat dan agenda perjuangan kita sebagai seorang mahasiswa. Malulah kita kalau generasi yang ada sekarang lemah dan tidak berupaya. Lemahnya generasi sekarang maka lemahlah generasi akan datang. Kitalah penentu masa depan negara.

* Ucapan semasa majlis suaikenal pelajar baru Universiti Utara Malaysia pada Mei 2000 di Dewan Muad’zam Shah, Universiti Utara Malaysia.