« Home | "Mahasiswa Baru" » | Musnahkan Virus Benci » | Kebajikan Fokus Utama » | Suara Kiri Tenggelam » | Kritis Tidak Salah » | Mencari Uslub, Hentikan Terista » | Typhoon Aspirasi Melanda Kampus » | Jangan tarik muka. » | Aspirasi Pilihan Perdana »

Memahami Perubahan

Perubahan didefinasikan oleh individu mengikut spesifikasi maknanya yang tersendiri, ikut-ikutan dan kadang-kadang terlalu taksub pada terjemahan kumpulannya. Pemahaman seperti ini bukanlah pengertian yang tepat. Terjemahan seperti ini lebih diselubungi oleh malicious falsehood kumpulan tersebut untuk mencapai kepentingan dan matlamatnya sahaja.

Untuk berlawan dengan syaitan, tidak semestinya perlu menjadi baik. Kadang-kadang perlu menjadi jahat untuk menang melawan syaitan. Itu falsafah Riddick. Seseorang yang mengikut jalan syaitan semata-mata untuk menentang syaitan, akhirnya dia sendiri akan terjerat dengan cara syaitan melalui jalan itu. Melainkan dia punyai naluri hati yang kuat untuk menguasai dirinya sendiri, bukan membiarkan naluri jahat itu menguasai hatinya. Akhirnya unsur kebaikan itu perlu juga ada bagi menentang kejahatan walaupun hanya sekelumit di dalam hati naluri. Jika tidak kejahatan akan memakan diri secara menyeluruh.

Ini adalah pemahaman yang dibalik kuangkan iaitu menghalalkan apa jua cara bagi mencapai matlamat. Dalam gerakan perjuangan adakala matlamat dapat dicapai dalam masa yang singkat, adakalanya mengambil masa yang lama untuk mencapainya.

Ada orang yang nak berubah secara cepat. Oleh itu mereka ini menganjurkan gerakan seperti reformasi, demonstrasi, cara gerakan bawah tanah, subversif, mogok dan gerakan revolusi semata-mata untuk mencapai matlamat tersebut dalam masa yang singkat. Ini adalah satu cara perubahan bagi mereka. Di kampus cara seperti ini lebih mirip kepada gerakan mahasiswa pro-pembangkang sekarang ini.

Di pihak yang lain pula, mereka ini lebih gemarkan diplomasi, mengadakan alternatif dalam permasalahan, rundingan, kerjasama dan jalinan persahabatan yang panjang dalam mencapai sesuatu matlamat. Walaupun lambat tetapi akhirnya matlamat untuk berubah itu dicapai juga walaupun tidak secara agresif tetapi tegas dalam setiap persetujuan keputusan. Cara ini pula mirip kepada cara politik kampus yang dipraktikkan oleh kumpulan perubahan hari ini.

Kadang-kadang ada yang sanggup mengikuti jalan perjuangan jahat iaitu menghalalkan apa juga cara bagi mencapai matlamatnya. Inilah yang merosakkan kemuliaan sesuatu perjuangan itu. Menghalalkan cara yang salah untuk tujuan politik kumpulannya. Ketika pilihanraya kampus 1998 dan 2000 saya mengalami sendiri cara berpolitik seperti ini. Tuduhan demi tuduhan dilemparkan oleh sekumpulan pejuang kepada golongan yang bersederhana cara politiknya demi untuk memberikan malice politic kepada golongan yang inginkan perubahan secara radikal. Apakah mulia jalan perubahan sebegini ?

Sudah tentunya tidak, kalau berjaya sekalipun caranya ialah tidak baik sama sekali. Lebih menyedihkan lagi bila ada orang yang sanggup menjual nama baik agama untuk kepentingan kumpulannya sahaja. Sedangkan kumpulan lain juga beragama, sebangsa dan sedarah keturunannya dengan kumpulan yang menuduh itu.

September ini, bakal berlaku sekali lagi ujian perubahan di kampus-kampus seluruh negara. Perubahan yang pastinya menguntungkan semua mahasiswa bukannya sesetengah puak mahasiswa sahaja. Pastinya ada pelbagai cara politik akan dipraktiskan nanti dalam masa pemilihan. Usaha membujuk pengundi, mempromosikan diri, menampilkan karisma kepimpinan, mencanangkan idea-idea bersama perlulah dilakukan dalam obligasi peraturan sosial yang betul. Insyallah, cara berpolitik yang mulia akan membuahkan hasil perubahan yang mulia.

Bagaimana memahami perubahan dengan jalan yang mulia ? Ada lapan jalan memahami perubahan dengan cara yang mulia.

1) Fahaman betul

Memahami sesuatu perkara dengan betul. Mengetahui latar belakang sesuatu perkara dan lebih fokus kepada kehidupan kekitaan. Tidak membuat keputusan secara terburu-buru tanpa soal selidik terlebih dahulu. Misalnya ada sesuatu isu diwar-warkan oleh sesetengah pihak, kita perlu selidiki dulu latar belakang penceritanya, sumbernya dan menganalisa maklumat tersebut dengan cermat agar tidak mudah terpedaya dengan hasutan yang cuba dibawa. Bagi calon pula perlu memahami motto yang cuba dibawakan dalam pilihanraya dengan betul tidak hanya ikut-ikutan. Akhirnya bila disoal akan memakan diri kalau hanya ikut-ikutan.

2) Pemikiran betul

Pemikiran hendaklah jelas dan tidak membiarkan fikiran dikuasai oleh orang lain. Perlu ada pendirian dalam hati dan niat kita terhadap sesuatu perkara perlulah ikhlas dan betul. Tidak boleh amalkan stail niat menghalalkan cara. Niat juga mestilah bukannya untuk mengharapkan balasan yang mencurah setelah terpilih tetapi terus bekerja dengan fikiran yang betul. Balasan daripada Allah SWT akan datang atas setiap pekerjaan yang kita lakukan. Allah SWT berjanji setiap satu kebajikan akan dibalas dengan sepuluh pahala kebajikan. Dan Tuhan tidak pernah memungkiri janji-janjinya.

3) Pertuturan betul

Mestilah bercakap benar dalam setiap perkara yang ingin dibawakan dan memastikan agar ada unsur-unsur faedah bersama dalam percakapan tersebut. Usah janji terlalu banyak, kelak nanti kita akan terpaksa mengejar janji apabila sudah menang. Berjanji biar ikut kemampuan dan realistik.

4) Perbuatan betul

Membuat tindakan yang baik dan kena caranya dalam kempen iaitu semasa sebelum menjadi calon atau semasa dan sesudah menjadi calon. Biarlah kita menjadi diri kita sendiri.

5) Pekerjaan betul

Memastikan agar pekerjaan kita betul tidak menganiaya orang bawahan dalam membuat sesuatu pekerjaan. Biarlah pekerjaan kita itu melambangkan peribadi sebenar kita bukanlah imej dan nama sebagai sandaran.

6) Usaha betul

Berusaha dengan betul, berikhtiar dengan ketenangan dan jangan membiarkan unsur-unsur kemarahan, gelojoh, tamak dan gopoh menguasai usaha kita. Penolakan unsur-unsur tidak baik ini akan memancarkan karisma kepimpinan pada wajah pemimpin itu.

7) Kesedaran betul

Mempunyai kesedaran untuk berjuang yang betul. Bukan tersedar untuk berjuang apabila diketuk baru hendak berjuang. Apabila tidak diketuk tidak mahu berjuang. Kepekaan terhadap perjuangan mestilah tinggi.

8) Tumpuan betul

Memberikan tumpuan yang betul. Membuat keputusan yang baik, tidak berdasarkan hawa nafsu sebagai timbangan pembuatan keputusan. Fokus dengan baik pada perjuangan.

Dalam Al-Qur'an terdapat banyak ayat-ayat yang menyuruh manusia supaya mengungkapkan percakapannya dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka itu mendapat perhatian dan tidak menyebabkan orang lari daripada mendengarnya. Cara seorang diplomatic agent banyak dianjurkan dalam Al-Quran sendiri. Malah Nabi Muhammad s.a.w. juga dianjurkan oleh Allah SWT supaya bercakap dengan cara yang paling lembut.

Firman Allah S.W.T, maksudnya:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (tentang kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya." (Surah Ali-Imran : 159)

Jalan perjuangan yang mulia, kalau diikuti oleh pejuang yang sejati. Insyallah, akan memencarkan api perjuangan yang mulia yang pastinya menguntungkan semua mahasiswa di mana-mana IPTA pun. Jalan perjuangan yang mulia menuntut seseorang pejuang itu berperilaku seperti diplomatic agent dalam perjuangan perubahannya.
Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka dia bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Bukankah jalan diplomasi itu lebih baik jalannya daripada jalan subversif yang lebih jahat sedikit caranya. Orang yang memilih jalan yang tersebut ia bagaikan orang yang melakukannya.

Ikthisarnya, perubahan perlu difahami dengan jalan yang mulia agar pilihan jalan kita adalah pada landasan betul. Orang yang mula mencari kebenaran kebiasaannya akan tersesat pada awal perjalanannya. Namun kebenaran tetap terus dicarinya, hinggalah kebenaran itu bertemu dengan pencarinya.

Orang yang benar-benar mencari kebenaran tidak akan selama-lamanya tersesat dalam jalan yang salah. Hanya orang yang tidak mahu kebenaran sahaja yang akan selama-lamanya berada pada jalan yang salah, kerana tidak memuliakan kebenaran dengan jalan hati yang mulia. Kemuliaan cara pencari kebenaran akhirnya akan menzahirkan kemuliaan dalam perubahan yang dibawanya. Fahamilah perubahan dengan cara yang mulia.
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden, Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)