« Home | Memahami Perubahan » | "Mahasiswa Baru" » | Musnahkan Virus Benci » | Kebajikan Fokus Utama » | Suara Kiri Tenggelam » | Kritis Tidak Salah » | Mencari Uslub, Hentikan Terista » | Typhoon Aspirasi Melanda Kampus » | Jangan tarik muka. » | Aspirasi Pilihan Perdana »

Anak yang hijau

Golongan yang tidak dapat menerima hakikat kekalahan. Tidak faham erti demokrasi dengan pemahaman rasional. 6 Januari 2005, Jumaat, 9 pagi di Mahkamah Tinggi, kes seorang pelajar, Mozahiri Shamsudin saman UIA. Mozahiri mencabar keputusan pilihanraya kampus dan pilihan pelajar dalam pilihanraya kampus sesi 2005/06.

Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS Kelantan), Haji Hanifa Ahmad (calon PAS yang kalah), Husam Musa (Naib Presiden PAS) Mohd Ridza (Ketua Pemuda PAS Pasir Mas) dan 100 penyokong PAS memfailkan petisyen setebal 22 muka surat di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 5 Januari 2005. Mencabar keputusan pengundi Pengkalan Pasir yang telah membuat pilihan muktamad pada 6 November 2005.

Inilah contoh dua tindakan melawan keputusan demokrasi secara berperlembangaan yang telah sedia ada. Boleh menyaman universiti walaupun masih belajar. Boleh lagi mencabar keputusan pilihanraya walaupun sudah terbukti kalah secara adil. Inilah negara Malaysia yang adil, yang sudah kalah pun boleh menyaman mereka yang sudah menang. Hebatnya menjadi seorang mahasiswa dan rakyat yang berwarganegara Malaysia. Demokrasi ada walaupun di pihak yang kalah.

Inilah trend terbaru gerakan mahasiswa yang berideologi hijau. Meniru rentak bapanya yang berbaju hijau. Bapanya boikot, anaknya turut boikot. Bapanya menyaman, anaknya juga belajar sama menyaman. Imbas kembali pilihanraya di Sungai Lembing, Pahang pada 2004. calon PAS iaitu Idris Ahmad (bekas pengawai zakat Jabatan Agama Islam Pahang) hanya mendapat 544 undi daripada seramai 11,790 pemilih berdaftar. Idris Ahmad hilang wang pertaruhan. PAS boikot pilihanraya di Sungai Lembing.

We Unite For Islam (WUFI) yang merupakan anak asuhan PAS di UIA bertindak memboikot pilihanraya kampus di UIA pada 29 September 2005. Kesemua universiti diboikot kecuali di UKM dan UIA. WUFI mendakwa universiti mengenakan peraturan yang ketat dalam membolehkan seseorang pelajar menjadi calon MPP. Apabila kalah dan kehilangan kuasa, WUFI saman UIA.

Di Pengkalan Pasir, 18,411 pengundi tempatan tidak bersetuju untuk memilih PAS sekali lagi menjadi wakil rakyat di situ. PAS tidak puas hati, tuduh BN gunakan pengundi hantu. Tuduh BN beri rasuah kepada pengundi. Padahal PAS juga turut beri zink, tar jalan, beri batu, beri kain batik, beri duit dan buat longkang baru. Hendak risau apa, bukannya duit PAS, duit PKINK yang keluar sebab yang bertanding ialah bos Perbadanan Kemajuan Ikthisad Negeri Kelantan (PKINK) sendiri. Rugi keseluruhan anak syarikatnya ialah 71,412,459 juta. Sumber akaun PKINK yang diaudit pada 31 Disember 2004.

Anak asuhan PAS di universiti ialah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang cuba bertindak sebagai suara mahasiswa kampus. Menuduh kampus yang sedia ada tidak cukup berdemokrasi kepada pelajar. Demokrasi mana lagi yang dicari kalau masih belajar pun boleh menyaman universiti sendiri. Kalau masih belajar boleh mengusung keranda ke SUHAKAM. Itulah demokrasi. Malah demokrasi inilah yang mengambil Mahadi Sukarno dan beberapa orang lagi pemimpin pembangkang bekerja sekarang ini sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Dengan demokrasi berpelembangaan inilah, wujudnya PAS dan Keadilan. Dengan demokrasi jugalah mahasiswa berhak memilih siapa yang mereka hendak untuk menjadi wakil mereka. Maka kalau mahasiswa memilih orang yang silap. Yang harus dipersalahkan ialah pemilih yang memilihnya bukan suatu sistem yang telah sedia ada. Anwar Ibrahim semasa menjawat jawatan Menteri Pendidikan juga tidak meminda dan memansuhkan AUKU. Mungkin Anwar terhutang budi dengan AUKU yang sedia ada.
AUKU inilah juga yang telah mengeluarkan beratus ribu orang graduan di Malaysia sejak bertahun-tahun yang lalu. AUKU inilah yang banyak berjasa mengubah nasib anak petani, nelayan dan penoreh getah menjadi seorang yang berjaya. Kenapakah sesuatu Akta yang cukup berjasa ini perlu dibenci dan dihapuskan oleh mahasiswa ? Bertahun-tahun isu AUKU kedengaran di kampus tetapi AUKU masih lagi teguh tidak terhakis sedikit pun. Meminda mungkin konstruktif, tetapi menghapusnya adalah tidak rasional sama sekali.

Atas dasar demokrasi yang toleran antara Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan DEMA lahirlah SMM. Presiden SMM ialah wakil daripada PMI manakala DEMA menjadi Setiausaha SMM. Tetapi yang mendominasi gerakan SMM sebenarnya ialah DEMA. Inilah demokrasi toleran amalan mahasiswa pembangkang. Apabila tidak berpuas hati dengan sesuatu sistem yang ada boleh menyaman universiti atau memboikot sistem yang sedia ada. Malah pernah anjurkan demonstrasi di Parlimen mengutuk menteri lagi. Ahmad Rifauddin Abdul Wahab (Pengerusi SMM) pernah membantah peraturan baru pilihanraya kampus di UIAM dalam Akhbar SIASAH bil 0004, (m/s 5), keluaran 16-29 September 2005.

Solidariti Mahasiswa Malaysia ( SMM ) yang diwakili oleh Ginie Lim Siew Lin (Setiausaha SMM) Hanif Baderun (Presiden GAMIS), Ahmad Nizam (Setiausaha Agung KARISMA), Kong Wee Cheng, (Setiausaha Perhubungan Antarabangsa DEMA ) telah menghantar 6 tuntutan pilihanraya kampus pada 30 Ogos 2005 kepada SUHAKAM. Inilah demokrasi. Tidak puas hati boleh membantah sistem yang ada.
Jadi mengapa perlu AUKU dihapuskan lagi. Kerana dengan sistem AUKU yang sedia ada pun seorang pelajar boleh menghantar mengusung keranda, hantar memorandum dan keluarkan kenyataan dalam surat khabar perdana. Hanif Baderun atas kapasiti sebagai Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya telah memberikan guideline apakah kriteria yang perlu ada pada seorang Naib Canselor dalam Forum Utusan Malaysia baru-baru ini. Cukup berdemokrasi akhbar Malaysia. Jadi kebebasan bersuara bagaimana lagi yang dicari oleh mahasiswa ?

Demokrasi dalam parti pembangkang telah mengangkat bekas aktivis pelajar anti establishment di Australia menjadi pemimpin dalam organisasinya. Tian Chua adalah pemimpin National Overseas Student Collective (NOSCA) pada tahun 1985. Tian Chua menganjurkan demonstrasi menentang pengenalan yuran $250 untuk pelajar-pelajar yang belajar Australia pada 25 Mac 1987 di Sydney.
Tian Chua menjadi penentang yang kuat kepada dasar kerajaan Australia di bawah pimpinan Bob Hawke pada masa tersebut. Kini menyelaraskan SUARAM dan HAKAM secara tidak langsung. Ayah kepada DEMA. Ginie Lim ( bekas Exco MPP USM sesi 2002/03 ) sekarang ini dilantik oleh Tian Chua (Ketua Penerangan PKR) sebagai AJK Biro Penerangan PKR. Ginie Lim juga adalah bekas Setiausaha Perhubungan Awam DEMA. Persatuan Mahasiswa Islam memilih seorang Setiausaha SMM yang telah mengeluarkan kenyataan menyokong Ayah Pin.

Ginie Lim (Setiausaha Perhubungan Awam, DEMA) telah mengeluarkan kenyataan media pada 8 Julai 2005 mendesak supaya Kerajaan Malaysia mengkaji semula penahanan Ayah Pin dan 21 orang pengikutnya yang tidak menurut perlembagaan persekutuan. Menurut DEMA setiap warganegara Malaysia menurut Artikel 3 (1), Perlembagaan Malaysia boleh mengamalkan sebarang agama dalam keadaan bebas dan harmoni di negara ini. Kenyataan ini memohon Kerajaan Malaysia membenarkan pengamalan agama yang bebas di kalangan rakyat. Kerajaan tiada hak untuk menghalang agama versi Ayah Pin. Agama ialah hak individu dan setiap individu berhak menentukan takdirnya sendiri. Penggunaan ISA untuk menahan Ayah Pin turut dikecam oleh Ginie Lim.

Ayah PMI pula warnanya hijau. Maka lahirlah SMM yang berideologi hijau pada kepalanya tetapi badannya berwarna biru muda bertatah bulan yang lebam. PMI telah diperkudakan oleh DEMA yang lebih mendominasi SMM. Seharusnya PMI memerintah SMM secara mutlak bukannya DEMA.

SMM yang dianggotai oleh Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI), Universiti Bangsar Utama (UBU), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Independent Student Resource and Legal Training Centre (ISREC), Gerakan Mahasiswa Demokratik (DEMA), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bukanlah wadah rasmi pelajar di kampus.

Mahasiswa harus bersatu padu menolak SMM yang berideologi hijau di kampus. September, bulan pilihanraya kampus akan tiba kira-kira 8 bulan lagi. Ini bermakna hayat MPP hanya tinggal 8 bulan sahaja lagi untuk tamat. Sekejap sahaja masa memendekkan jawatan yang disandang. Aspirasi, jangan toleh ke belakang lagi, teruskan usaha perubahan anda. Buktikan kepada mahasiswa bahawa mereka tidak tersilap memilih anda sebagai wakil pelajar di kampus. Rugilah orang yang memboikot pilihanraya, kalau untung sabut entah-entah sekarang ini sudah jadi MPP agaknya.
AZRINIZAM IBRAHIM

Presiden, Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)