« Home | Buka, tutup mulut » | Anak yang hijau » | Memahami Perubahan » | "Mahasiswa Baru" » | Musnahkan Virus Benci » | Kebajikan Fokus Utama » | Suara Kiri Tenggelam » | Kritis Tidak Salah » | Mencari Uslub, Hentikan Terista » | Typhoon Aspirasi Melanda Kampus »

SMM ditarik hidung

"Mahasiswa berhaluan kiri dicucuk hidungnya. Kumpulan ini lebih banyak mendesak. Desakan yang dibuat pula tidak berasas. Kata hak asasi mahasiswa. Tapi pada hemat saya, ada tali yang menarik mereka di luar yang merancang segala pergerakan mereka di dalam kampus” Fakhrul Razi Sunip, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia sesi 2004/05.

Tahniah diucapkan kepada 40,016 mahasiswa baru. Buat mahasiswa yang sudah memasuki semester yang kedua dan seterusnya, ruangan ini mungkin sekadar mengingatkan. Agar hidung kita sayangi tidak dicemari dengan tarikan yang tidak sepatutnya. Bukan tarikan untuk memancungkan. Tarikan ini adalah untuk pergi berdemonstrasi, membaling batu, mengusung keranda ke SUHAKAM, membawa sepanduk bantahan sambil menutup muka, mengusung patung, menyalakan lilin, membuat kenyataan untuk memuaskan pihak lain di luar dan terbaru menagih derma dari duit PTPTN pelajar.
Peluang belajar di menara gading adalah suatu peluang yang harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencapai apa yang dicita-citakan sejak kecil lagi. Masa tiga hingga lima tahun di universiti juga adalah peluang untuk mempelajari pelbagai cabaran hidup yang lebih hebat berbanding institusi ilmu yang sebelumnya. Mahasiswa tidak harus membiarkan dirinya ditarik hidung oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang dahagakan pengaruh dari mahasiswa.

Kumpulan ini hanya mahu merencatkan cita-cita dan memusnahkan harapan ibu bapa yang menghantar anaknya belajar di universiti. Kumpulan ini sanggup menunggu di perhentian bas, komuter dan dari bilik ke bilik untuk mencari pengaruh di kalangan mahasiswa baru. Inilah apa yang dinamakan sebagai perkaderan politik. Sanggup berbuat apa saja untuk mencari pengaruh. Mahasiswa akan diajak untuk bersama-sama dalam demonstrasi yang mereka iktiraf sebagai satu semangat perpaduan kaum yang kedua terhebat selepas peristiwa kemerdekaan negara kita.

Pada 6 Julai 2006, bertempat di Dewan Kecil Kolej Islam Malaya, Solidariti Mahasiswa Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar bertajuk “SMM menuntut supaya kandungan silibus subjek hubungan etnik yang di ajar di setiap IPTA dikaji semula”. Kenyataan ini mengandungi 8 Teras Keraguan. Jika dianalisis beberapa kenyataan teras keraguan tersebut. Ianya seolah-olah membenarkan frasa ini digunakan “SMM ditarik hidung”. Seolah ada satu pihak lain yang aktif menarik hidung SMM untuk mencapai tujuan-tujuan politik tertentu.

Dalam teras keraguan kedua kenyataan tersebut “SMM percaya seluruh rakyat Malaysia berhak menyuarakan pendapat sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. SMM melihat penggunaan suku kata Tuntutan ekstremis Suqiu adalah suatu penciptaan persepsi yang mempunyai unsur propaganda yang tidak sihat dan ia tidak boleh diterima sebagai sumber sejarah yang mempunyai nilai akademik. SMM melihat pasca Reformasi 1998 merupakan suatu periodisi yang harus dipersembahkan secara akademik sekiranya KPT benar-benar transperansi dalam membangunkan keharmonian etnik di Malaysia kerana ia adalah era pernyatuan bangsa terbesar selepas peristiwa kemerdekaan Malaysia. Era ini wajib dipersembahkan kerana ia adalah lambang perpaduan bangsa dan perubahan status quo sihat dalam masyarakat.”

SMM memberi respon kepada “...Tuntutan ekstremis Suqiu – Tuntutan-tuntutan sedemikian seharusnya tidak patut wujud lagi bagi mempertahankan keharmonian yang dinikmati selama ini dan mengekalkan hubungan serta kerjasama erat antara kepelbagaian kumpulan etnik yang wujud di Malaysia...”. (Bab 9, mukasurat 79, silibus Hubungan Etnik UPM, SKP 2204).

SMM telah membela kumpulan Suqiu dan mengiktiraf demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan pada tahun 1998 sebagai peristiwa perpaduan bangsa. Benarkah tindakan mengumpulkan anak-anak muda beramai-ramai di atas jalan untuk mengutuk kerajaan secara terbuka dan ganas boleh diiktiraf sebagai peristiwa besar untuk perpaduan kaum? Bolehkah tindakan membakar tayar kereta dan menggangu ketenteraman awam dipanggil sebagai suatu peristiwa perpaduan bangsa? Patutkah suatu tuntutan yang ekstrem oleh suqiu dibela oleh mana-mana pihak yang cintakan perpaduan kaum? Tentunya tidak. Ironisnya, SMM seolah disuruh untuk menulis kenyataan ini bagi membela pihak-pihak tertentu di luar.

Student Progresif Front (SPF) yang merupakan proksi SMM di Universiti Sains Malaysia telah mengedarkan flyers di dewan kuliah pada 11 dan 12 Julai 2006 untuk mengajak pelajar berkumpul beramai-ramai di Tasik Harapan, USM bagi menarik hidung pelajar baru. SPF mengajak pelajar untuk bersama-samanya mansuhkan AUKU, berkongsi risalah-risalah sosialis dengan rakan-rakan dan bersama-sama menderma kepada NGO atau organisasi yang berjuang untuk mansuhkan AUKU.

Dalam risalah SPF tersebut, mukasurat 10, perkara kelima “Apa langkah yang boleh kita lakukan”. SPF menyeru pelajar untuk “Menderma kepada organisasi atau NGO yang bekerja ke arah AUKU”.

Rakan kongsi SMM di USM ini bukan sahaja inginkan pengaruh tetapi mahukan juga duit pelajar. Bolehkah duit PTPTN pelajar digunakan untuk tujuan berdemonstrasi? Wajarkah duit PTPTN seseorang pelajar itu digunakan untuk tujuan belanja fotostat risalah SPF? Amatlah tidak wajar wang pelajar yang sepatutnya digunakan untuk membiayai yuran pengajian dan makan minum pelajar di universiti didermakan kepada sebuah pertubuhan seperti Student Progresif Front.

Mungkinkah duit ini akan didermakan kepada pertubuhan atau parti politik lain di luar yang mendesak SPF mengutip derma di kalangan pelajar?. Wong Weng Hoo (Koordinator SPF) dan bekas-bekas ahli MPP tajaan DEMA USM seperti Sek Choon Shiou, Lee Huat Sheng dan Low Chia Meng mungkin tahu kemana duit derma ini hendak disalurkan. Apakah wang derma ini tidak dikongsi bersama dengan Lee Yen Ting dan Choo Chon Kai serta ahli-ahli Persatuan Bahasa Tionghua (PBT USM)?. Masuk ke dalam poket sendiri atau disedekahkan kepada taukeh besar di luar?. Sook Sook Hwa (bekas penggerak Persatuan Bahasa Tionghua USM) dan Ginie Lim (bekas Exco MPP USM sesi 2002/03, kini Setiausaha Biro Penerangan PKR) harus memastikan akaun derma kutipan ini diaudit dengan baik dan wang kutipan tersebut harus dikongsi secara adil dengan Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUSM) disebabkan Mohd Rifauddin Abdul Wahab adalah Pengerusi SMM mewakili Persatuan Mahasiswa Islam.

Apakah pula hubungan antara Soh Sook Hwa (DEMA) dan Ngeow Yin Ngee yang merupakan salah seorang pengasas Parti Keadilan Nasional (KeADILan)?. Ngeow Yin Ngee telah bertindak selaku peguam Soh Sook Hwa. Ngeow Yin Ngee juga adalah penasihat guaman Dong Jiao Zong dan ahli Majlis Perhimpunan Cina Selangor. Siapa tarik hidung siapa?

Pada 11 Julai 2006, SMM bersama-sama dengan Datin Seri Wan Azizah (Presiden Parti Keadilan Rakyat, PKR), Tian Chua (Ketua Penerangan PKR), Hishamuddin Rais (Universiti Bangsar Utama) dan beberapa NGO seperti Asians Student Assosiation (ASA), Suaram, KL & Selangor Chinese Assembly Hall dan Hakam mengadakan perbincangan “PROPOSAL PEMANSUHAN AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI 1971 (PINDAAN 1975)”. Dalam majlis ini Mohd Rifauddin Abdul Wahab menyerahkan proposal tersebut kepada Datin Seri Wan Azizah. Gerakan mansuhkan AUKU ini untuk siapa sebenarnya?

“Adik-adik harus mengawasi golongan yang hendak merosakkan fikiran siswa dengan memberi label negatif kepada kumpulan pelajar yang berjiwa kritis dan cintakan Islam. Mereka mahu pastikan mahasiswa sebagai lembu kenyang.” Idris Haji Ahmad, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dalam “Warkah terbuka buat adik-adik mahasiswa baru”, akhbar Harakah. Idris Ahmad menggelarkan mahasiswa sebagai lembu kenyang. Bagaimanakah pula gelaran kepada Khairul Annuar Mat Zuki (Exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan) yang menarik hidung Zainulfakar Yaakob (pelajar Akademi Pengajian Islam, UM) bersama-sama memukul seorang pegawai HEP UM pada 20 Januari 2006? Apakah pula gelaran kepada mereka yang disuruh membaling batu kepada polis ketika demonstrasi? Apakah pula panggilan yang sesuai kepada demonstran PAS yang memukul Hamdi Hanapi ketika demonstrasi pada 26 Mei 2006?

Label negatif bukan diberi tetapi ditempah sendiri oleh golongan yang mengaku berjuang di atas nama agama. Malangnya pemimpin mereka hanya berpeluk tubuh sahaja bila orang bawahan mereka melakukan perkara yang merosakkan imej Islam. Malah digalakkan pula untuk membaling batu.

Kaedah aspirasi yang lebih rasional, konstruktif dan praktikal adalah yang terbaik untuk mahasiswa. Jangan ditarik hidung untuk bersama-sama berjuang bagi kepentingan mereka yang telah menuduh mahasiswa dengan panggilan lembu kenyang.
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)