« Home | Teruskan Kesinambungan Perubahan » | SMM ditarik hidung » | Buka, tutup mulut » | Anak yang hijau » | Memahami Perubahan » | "Mahasiswa Baru" » | Musnahkan Virus Benci » | Kebajikan Fokus Utama » | Suara Kiri Tenggelam » | Kritis Tidak Salah »

Aspirasi Calon Terbaik

Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hadir lagi. Tahniah kepada barisan kepimpinan MPP yang sebelumnya. Menerajui MPP dengan dedikasi sejajar dengan amanah yang dipertanggungjawabkan. Calon umum dan fakulti sekali lagi akan dipilih oleh mahasiswa kampus. Mahasiswa akan turun mengundi dan mengangkat calon-calon yang bertanding menjadi seorang ahli MPP. Mengundi adalah suatu hak yang perlu digunakan dengan sebaiknya. Hak untuk memilih calon yang terbaik. Aspirasi adalah calon yang terbaik untuk diundi dalam pilihanraya ini dan seterusnya.

Calon aspirasi membawa aspirasi universiti dan negara. Aspirasi untuk membangunkan modal insan yang cemerlang di kalangan pelajar. Aspirasi untuk meningkatkan kegemilangan institusi pendidikan yang diwakilinya. Aspirasi untuk menjadikan mahasiswa universiti seorang yang terbilang, semasa masih belajar atau pun sesudah tamat pengajian nanti. Aspirasi ini murni. Ianya perlu direalisasikan dengan sebaik mungkin oleh semua mahasiswa.

Pilihanraya kampus adalah suatu wadah pemilihan, siapakah calon terbaik untuk membawa aspirasi universiti dan negara. Sebagai seorang mahasiswa kita jangan mudah terpengaruh dengan dakyah, propaganda dan tindakan subversif kumpulan yang semata-mata mahu mencemarkan imej universiti dan pelajar sahaja.

Kumpulan ini hanya mahu mempergunakan mahasiswa untuk mencapai matlamat dan tujuan politik mereka yang berada di luar. Berikut adalah beberapa siri demonstrasi dan tindakan yang telah dilakukan oleh beberapa pertubuhan haram pelajar yang anti-establishment bersama-sama dengan parti politik pembangkang.

Pada 20 Jan 2006, Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan KARISMA bersama-sama dengan PAS berdemonstrasi dari Masjid Negara ke SUHAKAM. Dalam siri demonstrasi ini, seorang pelajar telah menumbuk muka seorang pegawai HEP bersama-sama dengan seorang Exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Seterusnya pada 25 Jan 2006, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengadakan demonstrasi di Putrajaya atas nama “KEMPEN SELAMATKAN DEMOKRASI KAMPUS” mengusung patung tidak berkepala ke Pejabat, Perdana Menteri Malaysia.

28 Mei 2006, demonstrasi kenaikan tarif elektrik, SMM bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS. Dalam kejadian ini seorang Presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) bersubahat bersama-sama beberapa orang demonstran PAS dengan telah memukul seorang pelajar. Pada 8 Jun 2006, demonstrasi dari Masjid Negara ke SUHAKAM membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti oleh SMM.

Seterusnya pada 17 Julai 2006, pembukaan kaunter haram oleh Gabungan Mahasiswa Maju (GMM) bersama SUARAM di Kolej ke-12, Universiti Putra Malaysia. Setelah dihalang daripada membuka kaunter haram, GMM berpakat dengan Merdekareview untuk menyebarkan isu ini di internet. Tidak cukup dengan itu, SMM dan GMM kemudiannya telah berdemonstrasi di hadapan pintu pagar UPM pada 25 Julai 2006.

29 Julai 2006, SMM yang diketuai oleh Rifauddin Abd. Wahab (Pengerusi SMM) dan Lee Huat Seng (aktor provokasi kejadian kolej ke-12 UPM, bekas MPPUSM) bersama-sama dengan Tian Chua (Ketua Penerangan PKR) berdemonstrasi di depan KLCC.

Kejadian-kejadian ini jelas menunjukkan ada kumpulan pelajar yang sanggup menjadi proksi bagi menjaga kepentingan politik pembangkang bukannya untuk menjaga kebajikan pelajar. Mereka bukan sahaja berdemonstrasi bersama-sama dengan pihak pembangkang, malah bertindak secara subversif dengan memukul dan memaki orang yang tidak sehaluan dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

Apakah yang akan berlaku sekiranya Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan pakatan pembangkang berjaya menguasai semua kerusi MPP? Sudah tentu lebih ramai yang akan digunakan oleh mereka untuk tujuan-tujuan lain selain daripada kebajikan pelajar. Inilah sebenarnya yang mereka mahukan. Memesongkan tujuan asal Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Mereka akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kembali tempat mereka di universiti. Keadaan menjadi lebih terdesak disebabkan waktu pilihanraya umum sudah semakin dekat. Pembangkang masih kekurangan jentera dan calon berwibawa dalam pilhanraya umum yang akan datang. Mereka perlu menguasai kampus untuk menunjukkan parti pembangkang relevan dan diterima oleh cerdik pandai di universiti. Namun mereka masih lagi gagal mempergunakan pelajar disebabkan aspirasi masih menguasai universiti. Keadaan ini menyebabkan pilihanraya kampus pada tahun ini menjadi penentu kepada kejayaan pembangkang dalam pilihanraya umum yang akan datang. Segala jentera dan cara pasti akan digunakan untuk mendapat kembali sokongan pelajar di universiti.

Suara Keadilan bil 091, menyiarkan artikel yang amat mengelirukan bertajuk “UPM: Universiti Paling Memalukan”. Tulisan Lau Tek Hai ini tidak lebih sekadar untuk mencemarkan imej universiti. Sedarkah tuduhan demokrasi mati, lemahnya sistem meritokrasi, kejamnya AUKU turut menyumbang kepada kejatuhan ranking universiti di Malaysia. Apakah bila seseorang pelajar itu hadir berdemonstrasi bersama-sama dengan parti pembangkang maka mutu akademiknya akan lebih baik daripada mereka yang tidak ikut berdemonstrasi?

Mahasiswa jangan cepat terpedaya dengan hasutan dan dakyah ini. Kumpulan mahasiswa pro-pembangkang ini menggunakan alasan hak asasi dan keadilan sebagai kuda kayu pelindung kegiatan mereka. Sebenarnya di dalam kuda kayu tersebut tersembunyi seribu satu agenda tersirat kumpulan pembangkang. Menelaüs, Nestor dan Odysseus telah mungkin mengajar Achilles tentang ilmu peperangan yang hebat. Tetapi jubah Priam telah mengajar Achilles rasa hormat terhadap seorang yang berani. Penyamaran secara gentleman Priam hanya dengan menggunakan jubah adalah lebih hebat daripada kuda kayu Achilles.

Mahasiswa pro-pembangkang tidak pernah menghormati erti demokrasi di kampus. Mereka tidak pernah menghormati ahli-ahli MPP yang dipilih secara sah dalam pilihanraya kampus. Lebih memalukan bila mereka bertindak menyaman universiti sesudah bertindak memboikot pilihanraya kampus. Hak asasi dan keadilan hanya sah jika kumpulan mereka yang menang dan menjadi ahli MPP sahaja. Selagi masih tidak terpilih, selagi itulah alasan demokrasi mati dan penyelewengan akan digunakan oleh mereka.

Persoalan yang sama diulang-ulang setiap tahun. Setiap tahun persoalan AUKU yang zalim dan kejam dibangkitkan oleh mereka. Sedangkan ketika pemimpin mereka menjadi Menteri Pelajaran suatu ketika dahulu kenyataan ini terbit dalam Utusan Malaysia. “Saya tidak pernah campur tangan dalam hal urusan universiti, tetapi banyak yang bercakap mengenai kebebasan atau autonomi universiti yang mahu mengenepikan dasar pendidikan negara. Mereka mahu kebebasan sepenuhnya. Ini merbahaya” kenyataan Anwar Ibrahim.

Setelah keluar daripada kerajaan dalam akhbar Siasah, Edisi 28 April-11 Mei 2006, Anwar Ibrahim menyatakan “Auku Sepatutnya Sudah Dimansuhkan”. Dua kenyataan yang amat berbeza ini menjelaskan bahawa AUKU ini adalah suatu perjuangan retorik sahaja oleh mahasiswa pro-pembangkang. Apakah suatu hari nanti bila mereka bekerja sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam sektor kerajaan, mahasiswa seperti Rifauddin Wahab, Zainulfakar Yaakob, Hanif Baderun akan menyokong AUKU sama seperti Anwar Ibrahim?
Beberapa universiti yang telah menikmati zaman “Pax Aspirasi” perlu meneruskan kemerdekaan yang telah dicapai. Tidak perlu lagi hadir Augustus Ceasar yang baru mewujudkan faction lain bagi tujuan politik peribadi. Perjuangan aspirasi perlu diteruskan, Gaius Julius Caesar (Julii), Marcus Junius Brutus (Brutii), and Publius Cornelius Scipio Africanus (Scipii). mesti bersatu dalam apa jua keadaan menentang Gaul dan Amazons yang mahu meruntuhkan tamadun kerajaan.

Propagandis pembangkang akan melakukan apa sahaja untuk memecahkan perpaduan mahasiswa aspirasi. Berhati-hati dengan mereka. Mereka adalah seperti propagandis Bani Abbas yang berpusat di Kufah dan Khurasan yang menghasut orang membenci kerajaan pimpinan khalifah Umar Abdul Aziz. Peristiwa provokasi kolej ke -12 di UPM adalah contoh kelicikan propagandis pembangkang yang terancang dan licik.

Aspirasi adalah calon terbaik untuk mahasiswa. Laksanakan tugas anda sebagai seorang pengundi dengan baik. Pilihan terbaik untuk menerajui MPP bagi tempoh 2006/07 adalah calon-calon aspirasi. Mahasiswa anti-establishment yang bertuankan parti pembangkang tidak wajar diberikan undi dalam pilihanraya kampus. Aspirasi adalah calon pelajar, universiti dan negara. Merekalah calon terbaik untuk menjayakan aspirasi universiti dan negara. Selamat mengundi.