« Home | Kesetiaan Pecinta Aspirasi » | Aspirasi Calon Terbaik » | Teruskan Kesinambungan Perubahan » | SMM ditarik hidung » | Buka, tutup mulut » | Anak yang hijau » | Memahami Perubahan » | "Mahasiswa Baru" » | Musnahkan Virus Benci » | Kebajikan Fokus Utama »

Kebanjiran wakil NGO

Sejarah membuktikan aktivis pelajar selalunya menjadi pendukung suara rakyat bila keluar dari kampus. Dahulu seorang aktivis pelajar tetapi kini adalah pemimpin dalam masyarakat. Tanggungjawab sosial ini berterusan. Ianya tidak mati dalam pagar universiti sahaja. Kondisi politik kampus seolah akademi bagi proses kepimpinan yang seterusnya. Pemimpin pelajar dan aktivis pelajar bersilih ganti menjadi pendukung suara rakyat sejak dekad 60-an hinggalah ke era tahun 2000 ini.

Majoriti kabinet Malaysia sekarang adalah lepasan dari Universiti Malaya. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas pemimpin pelajar. Pernah menjadi Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sesi 1962-1964 ketika dalam pengajian Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya. Dato’ Seri Rafidah Aziz (Menteri Perdagangan dan Industri), Dato’ Seri Ong Ka Ting (Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan), Datuk Azalina Othman Said (Menteri Belia dan Sukan), Dato Seri Shahrizat Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato’ Seri Chan Kong Choy (Menteri Pengangkutan), Dato’ Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi), Dato’ Seri Haji Azmi Khalid (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Dato’ Dr. Chua Soi Lek (Menteri Kesihatan) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), kesemuanya adalah lulusan dari Universiti Malaya.

Begitu juga dengan parti pembangkang, kampus adalah pondok pengkaderan bagi mengganti pucuk pimpinan yang semakin berusia. Era 60-an, aliran sosialisme begitu dominan di universiti. Kelompongan moral yang agak liberal dalam sosialisme mulai diganti dengan islamisme pada era 70an. Mahasiswa mulai melihat karakter yang demonstran dan alim sebagai pilihan. Mereka yang tidak mahu bersifat agresif dan provokatif telah dilabel dengan gelaran nasionalis. Dekad 60an dan 70an, Anwar Ibrahim (Penasihat Parti Keadilan) yang dahulunya adalah Presiden Persatuan Bahasa Melayu (PBUM), Ibrahim Ali (Presiden KSITM), Hishamudin Rais (Kolumnis Suara Keadilan) adalah bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Ideologi pelajar telah diwarnai dengan cat berjenama sosialis dan demontrasi.

Aktivis pelajar tahun 80-an seperti Husam Musa (Naib Presiden PAS) dahulunya adalah Exco PMIUM sesi 1981/82, Takiyudin Hassan (ADUN Bunut Payung, PAS) dahulunya adalah Presiden PMUM sesi 83/84, Mustafa Kamil Ayub (Setiausaha Agung PKR) dahulunya adalah bekas Presiden MPPUKM 84/85 dan Saifuddin Nasution Ismail (Bekas Timbalan Ketua Pemuda Keadilan) dahulunya adalah Presiden PMUPM 85/86 serta Tian Chua (Ketua Penerangan PKR) dahulu adalah bekas mengetuai National Overseas Student Collective (NOSCA) pada tahun 1985 ketika di Sydney Australia. Kesemuanya sekarang ini bersama dengan parti pembangkang PAS dan Keadilan.
Sudah menjadi tradisi dalam PAS dan Keadilan untuk memilih bekas-bekas aktivis pelajar bagi memegang jawatan penting dalam parti. Zaharuddin Abdul Rahman yang dulunya adalah Presiden PMIUM sesi 1999/2000 kini telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Khairol Anwar Mat Zuki iaitu bekas Presiden PMIUM sesi 04/05 kini adalah Exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan serta Abdullah Abdul Karim bekas Presiden MPP UKM 2001/2002 telah diberikan tanggungjawab sebagai AJK Dewan Pemuda PAS Pahang. Penyerapan mereka ke dalam organisasi parti PAS adalah secara terancang setelah PAS menguasai kampus selepas pilihanraya umum 1999.

Malah PAS berani mempertaruhkan calon-calon muda yang pernah menjadi aktivis pelajar untuk menjadi calon PAS dalam pilihanraya umum 2004 yang lepas. Mohd Nazri Din (Naib Presiden PMIUPM 1999/2000) telah menjadi calon PAS di DUN Kubu Gajah, Perak. Seorang lagi ialah Mohd Fadli Mohd Ramly (Presiden MPP UIAM sesi 2002/3) telah bertanding atas tiket PAS di DUN Tioman, Pahang. Kedua-duanya tewas. Sementara itu, Keadilan telah melakukan proses rejuvenate organisasi partinya. Perlantikan Shamsul Iskandar Mat Akin sebagai Ketua Pemuda Keadilan seakan-akan membayangkan Keadilan bakal mempertaruhkan calon-calon baru dalam pilihanraya akan datang. Shamsul Iskandar Mat Akin dahulunya adalah bekas Presiden MPPUIA sesi 96/97. Sentimen UIA warisan Ezam Mohd Noor (bekas pelajar UIA) nampaknya begitu mendominasi Pemuda Keadilan.

Lim Kit Siang yang menjadi Ketua Pembangkang sekarang adalah lulusan University of London dalam bidang undang-undang. Lim Kit Siang pernah menjadi ahli parlimen di Kota Melaka (Melaka), Tanjong dan Padang Kota (Penang) dan kini di Ipoh Timur (Perak). Selama 40 tahun dalam politik, sejak menjadi National Organising Secretary DAP pada 1966, Lim Kit Siang sudah berkelana ke tiga negeri untuk menjadi ahli parlimen. Sama seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor, DAP) juga berkelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Singapura pada tahun 1966. Parti DAP nampaknya lebih berminat dengan calon yang berkelulusan undang-undang. Pemimpin pelajar dan aktivis pelajar adalah pertimbangan kedua selepas kelulusan bagi DAP. Buktinya, Violet Yong Wui Wui, calon DAP yang menang di DUN Pending, Sarawak juga adalah bekas seorang peguam.

Pilihanraya kampus 2006/07 berkemungkinan berlaku dahulu sebelum pilihanraya umum yang ke-12 nanti. Tentunya lebih sengit. Pemimpin dan aktivis pelajar di kampus pasti menjadi bakal taruhan parti-parti yang bertanding nanti. Selain kelulusan akademik dan jawatan dalam parti, satu lagi sisi yang pasti menjadi bahan resume bakal-bakal calon nanti iaitu keterlibatan dalam aktiviti sosial dan non goverment organisation (NGO). Kewujudan banyak organisasi NGO memberikan suatu fenomena baru selepas pilihanraya umum 2004. Di universiti, pelbagai nama digunakan untuk menghalalkan kenyataan dan gesaan kepada pihak yang dikecam. Selalunya sasaran itu ialah universiti dan kerajaan. Agak janggal bila pihak yang mendakwa bebas mengecam pihak kerajaan dan universiti semata-mata. Mereka lupa tentang status bebas. Seolah-olah apa yang dilakukan oleh ahli parlimen pembangkang yang juga menerima elaun bulanan, betul kesemuanya.

Jika ada sebarang penggabungan parti ianya berlaku secara nampak tetapi jika ada sebarang penggabungan antara NGO, adakah ianya dapat dikesan? Beberapa NGO telah digunakan sebagai platform alternatif selain nama parti oleh pembangkang. Syed Shahir Mohamud adalah Presiden Malaysian Trade Union Congress, MTUC. Ezam Mohd Noor menjadi Presiden Movement for Democracy And Anti Corruption, GERAK. Manakala Dr. Irene Fernandez sebagai Presiden Tenaganita. Jamaah Islah Malaysia, JIM pula diletakkan di bawah Haji Zaid Kamaruddin sebagai Presiden. Syed Ibrahim Syed Noh pula menguasai GMI sebagai Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA dan S.Arutchelavan sebagai Setiausaha Agung Pro Tem Parti Sosialis Malaysia. Azmi Abdul Hamid sebagai Presiden Teras.

Kebarangkalian berlakunya kebanjiran wakil NGO sebagai calon dalam pilihanraya umum ke-12 adalah besar. Ini kerana dalam pilihanraya umum ke-11, Syed Shahir Syed Mohamud pernah bertanding atas tiket Keadilan di parlimen Kelana Jaya. Dalam siri-siri demonstrasi harga minyak di depan KLCC pada 3 Mac dan 28 Mei 2006, beberapa NGO turut memainkan peranan yang aktif. Pada 7 Januari 2007, kumpulan NGO ini turut terlibat membuat demonstrasi bantahan kenaikan harga tol. Simpati rakyat adalah diharapkan bagi mempotretkan semua usaha ini sebagai suatu pembelaan masalah sejagat rakyat. Inilah objektif awalan yang dikehendaki. Susulan dari itu, tujuan akhirnya adalah untuk menaikkan imej pembela rakyat ini sebagai bakal calon dalam pilihanraya umum nanti.

Profil semakin tebal seiring dengan bilangan demonstrasi yang dilakukan. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menjadi penghalang kepada pertambahan bilangan demonstran. Inilah yang dibenci dan cuba dihapuskan oleh pembangkang. AUKU dilihat sebagai halangan bagi mereka memanipulasikan pelajar bagi tujuan mengumpulkan bilangan yang lebih ramai. Maka, alasan hak asasi dan tidak demokrasi terpaksa dilontarkan sebagai bahan desakan untuk menuntut akta ini dihapuskan. Jikalau boleh, mereka mahu membawa seluruh 750,000 ribu orang mahasiswa ini di atas jalanraya berbanding hadir di dewan kuliah.

Muhammad Suhail bin Ahmad (Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM), Hanif Baderun (bekas Presiden GAMIS 05/06), Ahmad Tarmizi Mat Din (Presiden GAMIS),Mohd Nazri Yunos (bekas MPPUM, aktivis PMIUM) adalah antara short list nama yang berkemungkinan ada untuk diketengahkan oleh PAS dan Keadilan sebagai calon mereka dalam pilihanraya umum ke-12 nanti. Jumlah nama ini semakin kecil disebabkan kekalahan besar mahasiswa pro pembangkang dalam pilihanraya kampus pada tahun 2004, 2005 dan 2006. Kekurangan ini perlu ditampung dengan senarai nama dari wakil lain seperti NGO.

Pada tahun lepas, kawasan utara dilanda bah. Tahun ini kawasan selatan dilanda banjir. Mungkinkah pada tahun pilihanraya nanti, kawasan tengah akan dibanjiri pula dengan calon-calon NGO?
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)