« Home | Aspirasi Calon Terbaik » | Teruskan Kesinambungan Perubahan » | SMM ditarik hidung » | Buka, tutup mulut » | Anak yang hijau » | Memahami Perubahan » | "Mahasiswa Baru" » | Musnahkan Virus Benci » | Kebajikan Fokus Utama » | Suara Kiri Tenggelam »

Kesetiaan Pecinta Aspirasi

Aspirasi adalah pilihan. Setelah meniti dan menempuhi pilihanraya kampus sesi 2002/03 hingga sesi 2006/07, 5 kali memilih, kesetiaan itu nampaknya masih lagi tidak berubah. Cuma di UIA, ada penceraian talak satu. Pasangan sebenar bernama We Unite for Islam (WUFI), tetapi yang mengaku akad nikahnya ialah Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS). Bagaimana pula perasaan boyfriend seorang lagi yang bernama Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)? Tentunya terguris kerana kerakusan pengakuan GAMIS. Bila hati sudah dapat, orang lain pula mengaku dia punya.

Apakah GAMIS telah bermutaah atau bermisyar dengan PKPIM? Sanggupkah pula PKPIM berkahwin kontrak dengan GAMIS? Apa yang pasti sudah ada unsur kecurangan sesama mereka. Setahun lagi akan berlaku lagi pemilihan. Dalam diam-diam pula, PKPIM telah membuat pakatan sulit untuk menumbangkan WUFI di UIA dengan kumpulan lain. Penceraian mungkin berlaku akibat sikap tikam belakang GAMIS sendiri. Ahmad Tarmizi (Presiden GAMIS) mengakui bahawa GAMIS ingin menjadi pembangkang yang kuat di UIA. Walaupun berstatus pertubuhan haram, tetapi GAMIS nampaknya mendakwa di mana sahaja ada kemenangan bagi pihak pro-pembangkang di situlah terletaknya territory mereka. Apakah WUFI dan PKPIM tidak layak dan mampu untuk menjadi check and balance yang kuat?

Konspirasi Hamidon adalah punca kemenangan WUFI di UIA. Taktik Hamidon ialah menjual borang pencalonan secara sembunyi sembunyi sehari sebelum hari sebenar penjualan borang. Strategi seterusnya ialah mensyaratkan hanya calon sahaja boleh membeli borang penamaan calon. Pelan bertindak terancang Hamidon ini telah berjaya memenangkan WUFI secara teknikal di UIA. WUFI menang dengan bantuan tangan abang iparnya dalam Student Division and Development, UIA. Tidak cukup dengan itu, dalam Kosmo, 23 September 2006, Hamidon telah bertindak menyapu sampah yang dibuatnya di bawah tikar. Hamidon mendakwa pro-aspirasi telah menang di UIA. Abang ipar WUFI ini bertindak mencuci tangan. Dari mana WUFI mendapat peruntukan mengedar cakera padat (VCD) memburukkan aspirasi yang diedarkan kepada setiap pelajar di UIA? Setelah selesai pilihanraya, banner petanda kejayaan drama lakonan “amir dan amirah” digantung dengan bantuan tangan abang ipar.

Di kampus yang ke-185 dunia mengikut Time Higher Education Supplement (THES), Universiti Kebangsaan Malaysia berlaku pertembungan satu lawan satu di semua 34 kerusi yang ditawarkan di kerusi umum dan fakulti. Jeneral kumpulan pro-pembangkang di sini ialah Abdullah Abdul Karim (Ketua Penolong Pendaftar, Student Division & Development PAS) dan Idris Ahmad (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat). Islam Penyelamat Ummah (IPU) yang merupakan sepupu GAMIS di UKM bertanding di semua kerusi melawan Tindakan Siswa Bersatu (TSB). Walaupun pilihanraya kampus kali ini didakwa sebagai bobrok, lebih teruk daripada pilihanraya luar dan hanya UIA yang bebas daripada budaya hedonisme oleh Ahmad Tarmizi (Presiden GAMIS) dalam wawancaranya keluaran Harakah bil 1321, mukasurat 4. Biarpun kenyataan ini menghina kampus kelahiran Abdullah Abdul Karim dan Idris Ahmad. Tetapi ianya tidak menghalang kesungguhan dan minat mendalam PAS untuk menguasai universiti ke-185 dunia ini. Satu lawan satu. Biarpun bertanding secara bersemuka, tetapi hati pecinta aspirasi masih lagi tegar.

Di Skudai, berlaku perebutan yang agak sengit di semua kerusi antara aspirasi dan pro pembangkang yang menggunakan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI UTM) sebagai platform. 29 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan dimenangi oleh aspirasi. Selebihnya dimenangi oleh adik angkat GAMIS. Di KUiTTHO, ada tanda-tanda base pembangkang cuba dibina menggunakan Kelab Kejuruteraan Elektrik. Sama seperti UTM, hati mahasiswa di KUiTTHO telah terantai hanya untuk aspirasi sahaja. Di KUTKM, aspirasi menguasai keseluruhan 20 kerusi umum dan fakulti. Tiada langsung faction GAMIS di KUTKM.

Di Kolej Universiti Kejuruteraan Malaysia (KUKUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) budaya anti-establishment ditolak sepenuhnya oleh mahasiswa. Aspirasi menang di semua kerusi tanpa perlu bertanding. Tidak perlu lagi menjadi anti-establishment jika bertujuan hanya menjadi check and balance dalam Majlis Perwakilan Pelajar. Alasan untuk menjadi check and balance hanya melalui anti-establishment ini adalah sudah lama dan terlalu tua untuk diguna pakai lagi. Bukti jelas ialah penolakan secara total mahasiswa pro pembangkang di KUSTEM, KUKTEM, KUIM dan UiTM. Aspirasi menang bersih di semua kerusi walaupun berlaku pertandingan.

Di UMS, 26 kerusi dimenangi oleh aspirasi. Dengan peratusan tinggi yang turun iaitu 83.7%, mahasiswa UMS menolak calon-calon lain selain aspirasi. Manakala di UNIMAS, pro-pembangkang hilang 5 kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya kampus yang lepas. Kesemua 12 kerusi dimenangi oleh aspirasi. Malah di kawasan Parlimen Kubang Kerian yang dimenangi oleh Salehuddin Ayub (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) iaitu di USM Kubang Kerian, adik angkat GAMIS ditolak sepenuhnya oleh mahasiswa.

Suasana di kampus tertua negara iaitu di Universiti Malaya agak panas ketika penamaan calon diadakan. Gagasan (mahasiswa pro pembangkang) tampil dengan kumpulan bermotor, sepanduk, lilitan di kepala, kumpulan kereta mini, kenderaan pacuan empat roda mengiringi calon-calon Gagasan yang bertanding. Gagasan nampak agak mewah berbelanja untuk pilihanraya kali ini. Berjaga siang malam di surau Fakulti Akademi Pengajian Islam. Tidak cukup dengan itu, pada malam 18 September 2006, Gagasan menaja kumpulan bermotor merempit dari kolej ke kolej. Seramai 95% mahasiswa turun mengundi di UM, tetapi hanya 5 kerusi sahaja dimenangi oleh Gagasan. Pakatan Gagasan dengan lawyer-lawyer yang diketuai oleh brader rambut panjang berjaya menambah beberapa kerusi sahaja bagi Gagasan. Apa yang pasti, majoritinya mahasiswa menolak Gagasan di UM.

Kemenangan sejumlah 41 kerusi oleh aspirasi menunjukkan majoriti mahasiswa menolak pakatan Gabungan Mahasiswa Maju (GMM) dan PMI UPM di Universiti Putra Malaysia. 94% turun mengundi di UPM. GMM turut mengedarkan risalah memboikot e-undi di kolej ke-13 pada malam 19 September 2006. Risalah memboikot e-undi ini penuh terisi dalam bonet sebuah kereta proton saga berwarna kelabu, bernombor plat PFY 1728. Berikutan pengedaran risalah ini, beberapa orang ahli GMM termasuk 2 pelajar dari Universiti Malaya (UM) dibawa ke Balai Polis Serdang untuk siasatan lanjut. Tidak cukup dengan risalah, pada 21 September 2006, satu kes menumbuk jurukamera pula berlaku. PMI UPM yang sebelum ini bersubahat membelasah seorang wartawan kini bertindak lebih agresif lagi dengan menyerang dan menumbuk seorang jurukamera Bahagian Keselamatan UPM. Apakah ini yang dinamakan sebagai check and balance?

Gerakan Mahasiswa Maju (GMM) dan Student Progresif Front (SPF) sebenarnya tidak berniat untuk menjadi ahli MPP. Mereka nampaknya lebih berminat untuk menganggu dan menimbulkan kekecohan sahaja. UPM dan USM adalah target mereka. Mahasiswa memilih aspirasi di USM, kemenangan 33 kerusi berbanding hanya 3 yang dimenangi oleh pembangkang menunjukkan cubaan golongan tertentu dengan sokongan Asian Student Association (ASA) untuk menggunakan isu integrasi sebagai bahan kempen adalah gagal. Adik tiri GAMIS ini gemar sangat mengedar risalah haram. Satu bonet terisi penuh dengan risalah menyerlahkan lagi hobi adik tiri GAMIS ini. Sistem e-voting telah dituduh sebagai tidak adil pada golongan mahasiswa pro pembangkang. Tetapi sesudah menang mereka juga mengiktiraf sistem yang dituduh tidak adil tersebut dengan mengangkat sumpah menjadi seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Apakah ini boleh disebut sebagai hipokrit?

Kibaran aspirasi masih utuh di lembah Sintok. Pengundi yang tegar dengan aspirasi telah memilih aspirasi buat kali ke-6 berturut-turut di Sintok. Kultus taliban merah yang suatu ketika menjadi pesaing dengan team kuning kini nampaknya sudah mati terus doktrinnya. Biarpun begitu, sesuatu yang gemilang dan manis itu pasti akan menjadi rebutan. Ramai yang mahu kemenangan itu terpalit sama dengan namanya. Mahu sesuatu itu digempurkan menjadi sesuatu yang diingininya. Perkara sebegini tidak harus berlaku pada seorang patriot. Mempertahankan kemenangan yang sedia ada adalah lebih mulia, berbanding menghancurkannya.

Kesetiaan pada pasukan yang berjuang adalah kunci utama mencapai tujuan perjuangan. Pecinta aspirasi tegar hatinya pada tema aspirasi kerana pro-pembangkang sudah tiada lagi keikhlasan dalam perjuangan pelajar. Tidak perlu lagi pro pembangkang jika saban tahun membangkitkan soal AUKU berulang kali sedangkan ramai yang mendapat faedah daripadanya. Tidak perlu lagi tema demokrasi mati jika sesudah memboikot pada tahun lepas, pada tahun ini bersungguh-sungguh benar bertanding dalam sistem yang dihina sebagai tidak adil ini. Apa lagi yang tidak kena setelah berada di universiti? Tempat yang dianggap taman ilmu. Ramai yang berilmu, tetapi dimanakah ilmu itu digunakan. Bisakah pro pembangkang mencintai universitinya sendiri yang mengajarnya tentang ilmu?
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)